MA63 bukan barter politik, rundingan bukan tanda PM lemah – Ahmad

Facebook
WhatsApp
SENATOR Dato' Ahmad Ibrahim.

KUCHING: Kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding dengan Sarawak dan Sabah mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak boleh disifatkan sebagai tanda kelemahan atau usaha menukar sokongan politik dengan hak minyak dan gas.

Ahli Parlimen Dewan Negara yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, gambaran sedemikian bukan sahaja tidak tepat, malah mengabaikan kedudukan MA63 serta hak Sarawak yang berasaskan Perlembagaan dan undang-undang.

“Rundingan bukan kelemahan. Menghormati Perlembagaan bukan menyerah. Dan memenuhi hak yang sah bukan pertukaran sokongan politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berhubung Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan MA63 yang akan dipengerusikan Anwar di Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat ini.

TANGKAP layar kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid sebelum ini mendakwa Anwar mungkin akan “mengalah” kepada tuntutan Sarawak kerana kelemahan politik, selain membangkitkan isu peranan Petros sebagai agregator gas serta hak berkaitan minyak dan gas.

Ahmad berkata, Zaid sememangnya berhak mengemukakan pandangan politik dan undang-undangnya, namun status beliau sebagai peguam berpengalaman dan bekas menteri tidak bermakna pandangan tersebut menjadi tafsiran muktamad terhadap Perlembagaan Persekutuan, MA63 atau kedudukan undang-undang Sarawak.

“Kalau mahu bercakap mengenai undang-undang, biarlah undang-undang menentukan. Jangan kita membuat keputusan bagi pihak mahkamah sebelum mahkamah sendiri memutuskannya,” tegasnya.

Menurutnya, sekiranya terdapat pertikaian berkaitan hubungan antara Oil Mining Ordinance 1958 (OMO 1958), Petroleum Development Act 1974 (PDA 1974) atau mana-mana undang-undang Persekutuan, terdapat saluran kehakiman untuk menentukan kedudukan sebenar.

“Saya tiada masalah dengan kenyataan ‘let the Federal Court decide’. Biarlah Mahkamah Persekutuan menentukan perkara yang dibawa kepadanya. Tetapi pada masa yang sama, jangan pula kita mendahului mahkamah dengan menentukan siapa yang betul dan siapa yang salah,” katanya.

Ahmad turut menegaskan bahawa proses rundingan antara kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah tidak bercanggah dengan proses kehakiman, malah kedua-duanya boleh berjalan seiring bagi mencari penyelesaian yang adil dan boleh dilaksanakan.

Dalam pada itu, Ahmad turut menolak dakwaan bahawa Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum merupakan sesuatu yang ‘dimenangi’ Sarawak hasil kelemahan atau kelonggaran kerajaan Persekutuan pada masa tertentu.

“SST petroleum telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 2018 dan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2019.

“Ia bukan hadiah politik kepada Sarawak. Ia merupakan hasil daripada pendirian Sarawak mengenai kuasa perlembagaan dan undang-undangnya,” katanya.

Beliau berkata, hak Sarawak dan Sabah tidak sepatutnya dilihat sebagai konsesi yang diberikan oleh mana-mana Perdana Menteri atau kerajaan Persekutuan.

“Perkara asas yang mesti kita fahami ialah Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara.

“Hak dan perlindungan yang diberikan kepada Sarawak dan Sabah dalam proses pembentukan Malaysia bukan hadiah daripada mana-mana Perdana Menteri, kerajaan atau parti politik,” katanya.

Ahmad turut mengingatkan supaya isu MA63, PETRONAS, PETROS dan minyak dan gas tidak dijadikan bahan untuk melaga-lagakan Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung.

“Sarawak adalah Malaysia. Sabah adalah Malaysia.

“Apabila Sarawak dan Sabah mendapat apa yang sememangnya menjadi hak mereka di bawah kerangka Perlembagaan dan pembentukan Malaysia, Malaysia tidak kehilangan apa-apa.

“Sebaliknya, Malaysia menjadi lebih kukuh kerana rakyat melihat bahawa Persekutuan menghormati asas dan semangat pembentukannya,” katanya.

Mengulas mesyuarat Jumaat ini, Ahmad berharap perbincangan yang turut dijadual dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dapat menghasilkan keputusan positif.

“MA63 bukan bahan barter politik. Hak di bawah Perlembagaan bukan hadiah politik.Menghormati Sarawak dan Sabah bermakna menghormati Malaysia,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat