

KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) menyediakan landasan terbaik dalam mencorakkan masa depan generasi muda Sarawak, khususnya dalam kepimpinan dan pembangunan diri.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi menjelaskan, penglibatan belia dalam SABERKAS bukan sahaja menyediakan akktiviti bermanfaat kepada golongan tersebut malah menjadi platform untuk mengasah bakat terutamanya dalam bidang kepimpinan.
”Dengan terlibat secara aktif dalam SABERKAS, golongan belia dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan bermanfaat untuk mengasah bakat mereka khususnya dalam kepimpinan.
“Anak muda yang terlibat dengan Saberkas akan mempunyai peluang untuk mengatur pelbagai program yang bermanfaat sekali gus membina nilai kemasyarakatan dan hubungan baik dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Jerayawara Bubur Lambuk dan SABERKAS Prihatin Cawangan Pantai Damai di Kampung Buntal, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata SABERKAS bukan sekadar platform untuk aktiviti sosial tetapi juga medan terbaik melahirkan pemimpin berkualiti dalam pelbagai bidang.
“Kita dapat lihat, ramai pemimpin kita di Sarawak lahir daripada SABERKAS. Ini membuktikan pertubuhan ini bukan hanya menjadi tempat untuk berkumpul, tetapi sebagai institusi pembangunan bakat dan kepimpinan belia.
”Apa yang lebih membanggakan, SABERKAS kini diiktiraf sebagai salah satu pertubuhan belia terbaik di Malaysia, sekali gus memperkukuh peranannya dalam membimbing anak muda ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” tambahnya.
Hadir sama, Pengerusi SABERKAS Cawangan Pantai Damai, Mohd Hasfa Saleh.
OLEH RYNNA SHA’ERRA