ZARINA ABDULLAH
ASAJAYA: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk membayar pampasan yang adil dan munasabah kepada pemilik tanah apabila pengambilan balik tanah dilakukan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata demikian pada majlis penyerahan cek pampasan kepada penduduk Kampung Sambir, Asajaya, di pejabat Jabatan Tanah dan Survei bahagian Samarahan, semalam.
“Tanah yang diambil balik oleh kerajaan dan dibayar pampasan mengikut harga semasa adalah bagi tujuan ‘Projek Skim Pembesaran Kampung Sambir’ untuk menyediakan lot-lot kediaman dengan kemudahan asas seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air dan bekalan elektrik.
“Ia adalah bagi menampung pertambahan penduduk sekali gus memenuhi keperluan kediaman rakyat berpendapatan rendah yang tidak mempunyai tanah sendiri,” katanya.
Tambahnya, projek tersebut mengandungi dua fasa iaitu dalam fasa pertama terdapat 112 lot kediaman, tiga ekar rizab kerajaan, sebuah surau dan kawasan lapang.
“Manakala fasa kedua menyediakan 132 lot kediaman serta kemudahan untuk Industri Kotej dan “Lock Up Shop” yang bakal dibangunkan,” jelasnya
“Berkaitan isu pembayaran ini merugikan pemilik tanah, kerajaan merampas tanah, pengambilan balik tanah tanpa notis dan tanpa pembayaran pampasan seperti didakwa oleh sesetengah pihak, tidak timbul sama sekali kerana tujuan kerajaan adalah melaksana pembangunan dan kemudahan awam demi rakyat.
“Terima kasih diucapkan kepada semua pemilik tanah yang terlibat dalam projek ini kerana telah memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan semasa proses pengambilan balik tanah dijalankan,” ujarnya.
Belia berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memaksimumkan pembangunan demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat termasuk untuk yang berada di kawasan pedalaman dan luar bandar selaras dengan hasrat untuk menjadikan Sarawak antara negeri paling maju.
Pada keseluruhannya sejumlah 58 pemilik tanah yang terlibat dalam Projek Pembesaran Kampung Sambir itu menerima pampasan bernilai hampir RM6 juta.
Turut hadir Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Abdullah Julaihi yang diiringi oleh Penguasa Tanah bahagian Samarahan, Abang Jamalidon Abang Ullie.