SIMANGGANG: Sejumlah RM4.26 bilion telah diperuntukkan bagi melaksana projek-projek pembangunan infrastruktur untuk kepentingan rakyat dalam kawasan Bahagian Sri Aman.
Timbalan Menteri Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Aidel Lariwoo berkata, RM2.93 bilion daripada jumlah peruntukan itu adalah projek yang masih dalam peringkat perancangan.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman telah bertindak selaku agensi pelaksana bagi projek pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksana dan masih dalam peringkat perancangan di bahagian ini.
“Bagaimanapun, sebahagian daripada projek ini akan kita diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memandangkan RMK12 kini sudah pun menghampiri tahun keempat pelaksanaanya pada masa sekarang,” katanya.
Berucap pada sidang media selepas taklimat lawatan kerja rasminya di JKR Bahagian Sri Aman di sini, hari ini, Aidel turut memaklumkan kebanyakan projek itu setakat ini telah dilaksana mengikut dan mendahului jadual asal.
Katanya, tiada projek dilaporkan ‘sakit’ setakat ini dengan pencapaian JKR Bahagian Sri Aman berhubung perkara berkenaan harus dibanggakan hasil sokongan wakil rakyat yang turut membantu dari segi tadbir urus projek.
Selain itu, Aidel pada sidang media itu juga berkata, pelaksanaan projek terutama sekali di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) telah melalui kaedah baharu apabila ia diterbit dari bawah oleh wakil rakyat, Ketua Kaum dan organisasi kampung.
“Dahulu, projek-projek pembangunan dirangka oleh para pegawai kerajaan dan dikemuka ke peringkat atasan sebelum ia dilulus untuk dilaksana di bawah RMK.
“Atas sebab itu, kita haruslah menyanjungi tindakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menubuhkan banyak koridor pembangunan seperti SADA demi membolehkan kaedah baharu ini digunakan,” katanya.
Beliau juga turut menaruh keyakinannya terhadap JKR Bahagian Sri Aman dalam menjayakan semua projek pembangunan instruktur itu meskipun berhadapan dengan cabaran keadaan tanah dan usaha mengalih banyak utiliti penting.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Sri Aman Mahra Salleh, Pegawai Tadbir Khas SADA Datu Indit Bangai dan Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Minjo Simanding.
Aidel kemudiannya mengadakan lawatan kerja ke tapak projek menaik taraf jalan di Bandar Simanggang dan pembinaan jalan dari kawasan Jalan Kejatau ke Jambatan Batang Lupar II sebelum mengakhiri lawatannya di tapak Jambatan Batang Lupar II.
Oleh Valentine Ngumbang