KUCHING, 2 November: Seorang pengguna berusia 49 tahun berjaya mendapatkan semula wang berjumlah RM3,134.32 selepas jumlah itu lesap daripada akaun banknya menerusi transaksi yang tidak dilakukan atau dibenarkan olehnya.
Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) berkata, kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan sistem perbankan, lebih-lebih lagi apabila pengadu tidak menggunakan kemudahan perbankan dalam talian bagi urusan perbankan hariannya.

Menurut PPS, pengadu segera bertindak selepas menerima mesej pemberitahuan mengenai pengeluaran wang daripada akaunnya dengan pergi ke mesin deposit tunai (CDM) untuk mengeluarkan baki wang yang masih ada bagi mengelakkan kehilangan lanjut.
Pengadu kemudiannya hadir ke bank untuk mendapatkan penjelasan dan bantuan berhubung transaksi mencurigakan itu.
Bagaimanapun, tindakan awal pihak bank hanya mencadangkan penggantian kad bank kepada pengadu, sekali gus menimbulkan kebimbangan kerana isu berkenaan bukan sekadar melibatkan kad bank, tetapi kehilangan wang tanpa kebenaran pemilik akaun.
Susulan itu, PPS mengambil inisiatif menghubungi pihak bank bagi mendapatkan penjelasan, menyemak status transaksi serta menuntut penyelesaian terhadap kehilangan wang berkenaan.
Hasil perbincangan dan tindakan susulan bersama pihak bank, pengadu akhirnya berjaya mendapatkan semula keseluruhan wang RM3,134.32 itu.
Presiden PPS, Dr. Wynson Ong Teck Ping berkata, kejayaan mendapatkan semula wang berkenaan tidak seharusnya menamatkan persoalan mengenai bagaimana transaksi sedemikian boleh berlaku tanpa pengetahuan pemilik akaun.
“Persoalan utama bukan hanya sama ada wang pengguna boleh dikembalikan selepas sesuatu insiden berlaku, tetapi mengapa perkara seperti ini boleh terjadi pada peringkat awal?
“Pengguna menyimpan wang di dalam institusi perbankan kerana mengharapkan keselamatan, perlindungan dan keyakinan bahawa wang mereka tidak boleh dikeluarkan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, kejadian itu perlu diberikan perhatian serius, khususnya apabila pengguna yang tidak menggunakan kemudahan perbankan dalam talian turut berdepan transaksi yang tidak dikenal pasti atau tidak dibenarkan.
Menurutnya, pihak bank tidak seharusnya hanya menumpukan usaha menyelesaikan masalah selepas aduan dibuat, sebaliknya perlu mengutamakan aspek pencegahan, pengesanan transaksi mencurigakan dan tindakan segera bagi melindungi wang pelanggan.
“Pengguna tidak sepatutnya menanggung kebimbangan dan risiko akibat kelemahan keselamatan yang berada di luar kawalan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, PPS menggesa pihak bank memastikan setiap aduan berkaitan transaksi tanpa kebenaran disiasat secara menyeluruh, telus dan bertanggungjawab.
PPS turut menegaskan bahawa semua lapisan pengguna, tanpa mengira usia atau tahap kemahiran menggunakan teknologi, perlu mendapat perlindungan keselamatan perbankan sewajarnya.
Menurut pertubuhan itu, keselamatan wang simpanan pengguna merupakan amanah yang tidak boleh dikompromi dan pihaknya akan terus memainkan peranan dalam memperjuangkan hak serta kepentingan pengguna.





