Ibu bapa jayakan ‘Food SPM”, suntik semangat calon SPM

Facebook
WhatsApp
PENYEDIAAN makanan di dalam kawasan sekolah itu, bertujuan memastikan kesemua calon tidak perlu keluar mencari makanan, sekali gus mempunyai masa mencukupi untuk berehat dan membuat ulang kaji sebelum menduduki kertas seterusnya.

KUALA LUMPUR, 23 November: Seawal 7.00 pagi, pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda sudah mula meriah dengan kehadiran sekumpulan ibu bapa, yang sibuk menguruskan bungkusan makanan dan botol air mineral buat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, di sekolah berkenaan.

Bukan sekadar menghantar anak ke sekolah pada hari pertama peperiksaan bertulis SPM, kehadiran mereka turut membawa misi iaitu memastikan semua calon melangkah masuk ke dewan peperiksaan dengan perut yang beralas, menerusi program Food SPM yang digerakkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, sejak hampir tujuh tahun lepas.

Naib Yang Dipertua PIBG SMK Batu Muda Mohd Aizam Talib, 52, berkata penyediaan makanan di dalam kawasan sekolah itu, bertujuan memastikan kesemua calon tidak perlu keluar mencari makanan, sekali gus mempunyai masa mencukupi untuk berehat dan membuat ulang kaji sebelum menduduki kertas seterusnya.

“Pada pagi ini kami daripada pasukan PIBG sebanyak kira-kira tujuh orang menyediakan air mineral, roti dan kuih sebagai alas perut, manakala pada waktu tengah hari nanti kami akan menyediakan makan berat bagi memastikan kelancaran jadual peperiksaan mereka.

“Kami mahu pelajar mempunyai masa yang cukup untuk melakukan ulang kaji terakhir sebelum kertas sebelah petang,” katanya ketika ditemui Bernama di sekolah itu hari ini. 

Beliau berkata inisiatif kebajikan sepanjang musim peperiksaan itu dijayakan hasil sokongan padu ibu bapa yang menyumbang dari segi kewangan serta tenaga kerja.

Bagi Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Batu Muda Hasliza Ahmad Arif, 50, yang turut menyelaras program berkenaan berkata kehadiran ibu bapa di sekolah bukan sahaja bagi menjaga kebajikan makan minum calon, malah menjadi suntikan semangat buat anak-anak yang sedang berdepan debaran peperiksaan.

Lebih bermakna, anak perempuannya Nur Irdieena Soffia Sufian turut menduduki SPM tahun ini, menjadikan tanggungjawab menyantuni 275 calon berkenaan sebagai ibu dan anggota PIBG sesuatu yang amat dekat di hatinya.

“Saya datang untuk memberi sokongan kepada anak sendiri dan semua anak-anak SMK Batu Muda supaya mereka lebih bersemangat. Bila mereka nampak kehadiran ibu bapa di sini, semangat untuk menjawab soalan itu lain macam,” katanya.

Selain PIBG, Kumpulan Sarana Ibu Bapa (KSIB) sekolah berkenaan turut berganding bahu menguruskan agihan kudapan kepada calon, khususnya ketika waktu rehat pendek antara kertas peperiksaan bagi memastikan mereka kekal bertenaga. 

Seorang ahli KSIB Norizan Idris, 47, berkata beberapa ibu bapa termasuk beliau sanggup mengambil cuti bekerja demi untuk turun padang membantu mengagihkan makanan secara bergilir-gilir sehingga peperiksaan tamat.

Beliau berkata usaha itu sudah menjadi rutin tahunan setiap kali musim peperiksaan tiba sebagai tanda kasih sayang dan sokongan moral kepada seluruh calon sekolah berkenaan.

“Kami sayang anak-anak ini macam anak sendiri. Kami tidak mahu ada calon yang menjawab soalan dalam keadaan lapar. Jadi kami mahu mereka dapat menjawab peperiksaan dengan tenang.

“Bila mereka dapat makan dan minum, nampak wajah mereka lebih lega,” katanya yang turut memberi sokongan kepada anak bongsunya yang menduduki SPM tahun ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata peperiksaan SPM 2026 yang bermula hari ini hingga 17 Disember, membabitkan 21,425 calon di 162 pusat peperiksaan di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau turut mendoakan agar semua calon SPM dapat menjawab peperiksaan dengan tenang serta memperoleh keputusan cemerlang. – Bernama