MIRI, 22 November: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun bakal berdepan tindakan undang-undang selepas dikesan melakukan aksi ‘wheelie’ dengan mengangkat tayar hadapan motosikal di Jalan Piasau, di sini, semalam.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak memaklumkan remaja itu dikesan dalam operasi bersepadu yang dijalankan JPJ Miri bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri. Remaja berkenaan bakal dikenakan tindakan mengikut Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut hantaran di laman Facebook JPJ Sarawak hari ini, sebanyak 121 motosikal diperiksa dalam operasi itu, dengan 28 daripadanya disita atas pelbagai kesalahan.
“Daripada jumlah itu, 20 motosikal disita pihak polis, manakala lapan lagi oleh JPJ Miri.
“JPJ Miri turut mengeluarkan 124 notis ketidakakuran, manakala pihak polis mengeluarkan 50 notis saman,” menurut hantaran itu.
Antara kesalahan yang dikesan ialah memandu tanpa lesen yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, ketiadaan perlindungan insurans serta pengubahsuaian struktur dan peralatan kenderaan.
JPJ Sarawak berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dengan kerjasama polis bagi membendung pelanggaran undang-undang dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Oleh Liong Chai Ling




