Patah paha akibat kemalangan, remaja tetap bersemangat duduki SPM

Facebook
WhatsApp
PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1), Jeffrey Muhammad Noor, 17, hadir dengan berkerusi roda untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semasa tinjauan Bernama di sekolah berkenaan hari ini. Foto BERNAMA Sebanyak 420,879 calon mendaftar dijadual menduduki SPM 2026 di 3,334 pusat peperiksaan seluruh negara dengan peperiksaan bertulis berlangsung dari 23 Nov hingga 17 Dis ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 23 November: Walaupun baru menjalani pembedahan akibat patah paha kiri dalam kemalangan motosikal, seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 tetap bersemangat menduduki peperiksaan itu hari ini.

Ibu kepada remaja berkenaan, Aliaanadiah Abdul Latif, 41 berkata anak lelakinya itu mengalami kecederaan tersebut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan kereta yang keluar dari kawasan parkir pada 13 November lepas ketika dalam perjalanan ke Surau Ar-Rahman di Presint 16.

Beliau berkata anaknya menjalani pembedahan pada 18 November sebelum dibenarkan keluar daripada hospital pada keesokan harinya iaitu hanya beberapa hari sebelum peperiksaan bermula.

KETUA Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad menyantuni para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1) yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini. Foto BERNAMA

“Dia memang nak duduki SPM tahun ini. Walaupun patah kaki kiri, dia tetap mahu datang dan ambil peperiksaan. Kami sebagai ibu bapa hanya memberikan sokongan dari segi kebajikan dan mengikut apa yang dia mahukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi tinjauan hari pertama peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 oleh Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1) di sini, hari ini. 

Beliau berkata sokongan rakan sekolah, guru dan pengetua yang datang menziarahi anaknya turut menjadi pembakar semangat untuk remaja berkenaan meneruskan persediaan menghadapi peperiksaan.

“Selepas kemalangan, kawan-kawan dia datang setiap hari. Mereka bawa nota dan kongsi apa yang cikgu ajar di sekolah, malah, semasa program pecutan akhir pada Sabtu lepas pun ada yang datang membantu.

“Apabila dia tengok kawan-kawan datang beri sokongan, semangat dia semakin kuat untuk menduduki peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata persediaan anaknya menghadapi SPM sebenarnya telah bermula tahun lepas menerusi pelbagai program dan bimbingan yang disediakan pihak sekolah.

Mengakui kecederaan itu sedikit sebanyak menjejaskan emosi anaknya, beliau berkata anaknya bagaimanapun tidak pernah menyuarakan hasrat untuk menangguhkan peperiksaan. – Bernama