JAKARTA, 21 November: Pihak berkuasa kastam Indonesia menggagalkan cubaan menyeludup sejumlah 25.8 kilogram (kg) emas bernilai kira-kira Rp62.5 bilion (RM14.06 juta) ke Malaysia dalam tiga kes berasingan bulan ini, termasuk satu kes membabitkan seorang lelaki warga Malaysia yang menyembunyikan jongkong emas di dalam kasutnya.
Ketua Pejabat Kastam dan Eksais Teluk Bayur Ade Zirwan berkata lelaki warga Malaysia berusia 34 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau berhampiran Padang, Sumatera Barat, pada 12 November kerana disyaki cuba menyeludup keluar empat kilogram emas bernilai kira-kira Rp10 bilion (RM2.25 juta) dari Indonesia.
Beliau berkata pegawai kastam menerima maklumat mengenai seorang penumpang yang menunjukkan tingkah laku mencurigakan ketika memantau kawasan pelepasan bagi penerbangan ke Malaysia, sekali gus mendorong pemantauan dan pemeriksaan lanjut.
“Susulan maklumat itu, pegawai segera menjalankan pemantauan dan analisis lanjut terhadap penumpang berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan,” katanya seperti dipetik dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa ujian makmal mengesahkan emas berkenaan mempunyai tahap ketulenan melebihi 99 peratus.
Ade berkata suspek ditahan selama 20 hari di pusat tahanan Polis Sumatera Barat sementara menunggu siasatan berhubung dakwaan melanggar Undang-Undang Kastam Indonesia, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta denda antara Rp50 juta (RM12,500) hingga Rp5 bilion (RM1.25 juta) jika sabit kesalahan.
Dalam kenyataan berasingan, Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais Indonesia memaklumkan bahawa pegawainya merampas 21.8 kilogram lagi emas bernilai kira-kira Rp52.5 bilion (RM11.80 juta) dalam dua kes membabitkan penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Syamsudin Noor berhampiran Banjarmasin, Kalimantan Selatan, pada 5 dan 12 November.
Dalam operasi pertama pada 5 Nov, direktorat itu berkata pegawai merampas 4.2 kilogram bahan yang disyaki emas daripada empat wanita warga Indonesia yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas pemeriksaan bagasi menggunakan mesin sinar-X dan pemeriksaan badan.
Barangan berkenaan kemudian dibawa ke Pejabat Kastam Banjarmasin untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam operasi kedua pada 12 November, tiga penumpang dipintas ketika bersiap untuk menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur susulan proses pemprofilan penumpang, dengan pegawai menemukan 17 jongkong emas seberat 17.6 kilogram yang disembunyikan di dalam seluar pendek dan baju dalam mereka.
Direktorat itu berkata ketiga-tiga penumpang berkenaan telah dinamakan sebagai suspek dan sedang disiasat oleh pihak kastam kerana disyaki cuba mengeksport barangan tanpa mengemukakan pengisytiharan yang diwajibkan.
Sementara itu, dua rampasan di Banjarmasin berkenaan melibatkan potensi duti eksport yang tidak dibayar berjumlah Rp5.2 bilion (RM1.17 juta). – Bernama




