SARATOK: Sejumlah RM20,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta agensi kerajaan di Pejabat Pusat Khidmat Krian di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata antara yang menerima peruntukan MRP tersebut iaitu JKKK Rumah Maling Babang B, JKKK Rumah Johnny Bukit Bangkit Kerupok, Pejabat Pendidikan Daerah Saratok, dan Pejabat Daerah Kecil Spaoh.
“Penerima geran MRP adalah dinasihatkan menggunakan sebaik-baiknya serta memanfaatkan peruntukan itu untuk menganjurkan aktiviti melibatkan masyarakat.
“Penerima harus memastikan peruntukan itu digunakan seperti yang dirancang, dan kerajaan Sarawak menyalurkan geran MRP setiap tahun supaya persatuan atau pertubuhan dapat menganjur aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat, dan ia tidak harus disalah guna,” katanya.
Dalam pada itu, Friday turut melakukan penyampaian sumbangan 20 meja kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kabo.
“Sumbangan 20 meja itu adalah untuk kegunaan pelajar SK Ulu Kabo yang sedang menumpang di SK Lempa akibat daripada jambatan yang telah runtuh semasa kejadian banjir yang lepas.
“Diharap dengan sumbangan meja tersebut dapat membantu para pelajar SK Ulu Kabo untuk terus menimba ilmu,” katanya.
Oleh Adi Safarman