PUSA, 22 November: Kemudahan Masjid Baitus Salam, Kampung Tambak terus ditambah baik menerusi projek naik taraf bernilai RM170,000 bagi menyediakan persekitaran rumah ibadah yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada penduduk setempat.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, usaha menaik taraf masjid berkenaan penting bagi memastikan jemaah dapat melaksanakan ibadah dengan lebih selesa, khususnya menjelang Ramadan dan Syawal.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan projek naik taraf Masjid Baitus Salam, Kampung Tambak, yang mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kemudahan keagamaan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, projek bernilai RM170,000 itu melibatkan kerja pembaikan dan penambahbaikan beberapa kemudahan utama, termasuk bumbung, dinding, siling, pendawaian semula, pemasangan kipas dan lampu, karpet serta sistem pembesar suara (PA).
“Usaha menaik taraf ini diharap dapat memberikan keselesaan kepada jemaah, sekali gus menjadikan masjid sebagai tempat yang lebih kondusif untuk melaksanakan ibadah dan pelbagai aktiviti keagamaan.
“Menjelang Ramadan dan Syawal, kita mahu memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dalam suasana yang lebih selesa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa enam unit penyaman udara akan dibekalkan bagi meningkatkan keselesaan jemaah ketika menunaikan solat dan mengikuti aktiviti di masjid berkenaan.
Mohamad Shafizan turut mengingatkan Jawatankuasa Pengurusan Masjid supaya terus memainkan peranan aktif dalam mengimarahkan masjid menerusi penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
“Perpaduan yang erat dalam kalangan masyarakat bermula daripada institusi masjid yang bergerak aktif.
“Masjid bukan sekadar tempat menunaikan solat, tetapi juga menjadi pusat penyatuan masyarakat dan pengukuhan ukhuwah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Masjid, Musa Gapor, Ketua Kampung Tambak, Saham Yak serta seluruh jawatankuasa dan penduduk kampung atas kerjasama serta komitmen dalam menjayakan projek naik taraf berkenaan.
Mohamad Shafizan berharap Masjid Baitus Salam terus berperanan sebagai pusat ibadah, penyatuan ummah dan pengukuhan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat Kampung Tambak.
Oleh Adi Safarman




