BINTULU, 22 November: Penghasilan pelbagai produk berasaskan Golden Melon (tembikai susu emas) membuka peluang keusahawanan baharu kepada 15 wanita Persatuan Perkumpulan Wanita (PPWS) Daerah Bintulu/Tatau menerusi projek bimbingan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Antara produk yang dihasilkan peserta ialah aiskrim dan dadih Golden Melon, serta gula-gula kenyal, selain produk bukan makanan seperti sabun mandi, sabun pencuci pinggan dan sabun cecair berasaskan melon.
Ketua projek, Ts. Dr. Shiamala Devi Ramaiya berkata, pendekatan itu bertujuan membantu peserta mempelbagaikan penggunaan hasil tanaman, sekali gus meningkatkan nilai ekonomi dan mengurangkan pembaziran.
“Melalui aktiviti ini, kami mahu peserta memahami bahawa hasil pertanian bukan sahaja boleh dijual dalam bentuk buah segar, tetapi juga boleh dibangunkan menjadi produk yang mempunyai nilai ekonomi tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program Memetik Buah Golden Melon anjuran PPWS Daerah Bintulu/Tatau yang berlangsung di Persatuan Perkumpulan Wanita Bintulu, di sini, hari ini.
Menurutnya, buah yang tidak memenuhi spesifikasi pasaran, seperti bersaiz kecil atau mempunyai kecacatan fizikal tertentu, masih boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk lain yang berpotensi dipasarkan.

Projek yang bermula pada Julai lalu itu turut melibatkan penanaman 300 pokok Golden Melon di kawasan PPWS Bintulu dengan menggunakan sistem pengairan titis automatik.
Beliau berkata, peserta yang terdiri daripada suri rumah, pesara dan pengusaha kecil turut mengikuti latihan praktikal merangkumi aspek pembajaan, cantasan, pendebungaan serta pengurusan perosak dan penyakit bagi membolehkan mereka menguruskan tanaman secara berdikari.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada penghasilan baja organik seperti kompos dan baja daripada kulit telur serta kaedah kawalan perosak secara bersepadu sebagai sebahagian daripada amalan pertanian lestari.
Projek yang menerima pembiayaan RM40,000 daripada Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) itu dijadualkan berlangsung sehingga Mei 2027.
Shiamala berkata, beberapa peserta turut menyatakan hasrat untuk meneruskan penanaman Golden Melon di kebun masing-masing, sekali gus memperlihatkan potensi projek itu dalam merangsang keusahawanan berasaskan pertanian dalam kalangan wanita.
Turut hadir pada majlis itu ialah penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming dan Pengerusi Negeri PPWS, Datuk Norhayati Mohd Ismail.
Oleh Carolyne Utih



