PETRA JAYA, 22 November: Harga rumah yang semakin meningkat, masalah bekalan air bersih dan kekurangan kemudahan sukan antara isu yang mahu diberi perhatian oleh golongan belia menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Perkara itu disuarakan beberapa wakil belia yang ditemui Utusan Sarawak pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Bagi Hartini, 27, dari Kuching, isu perumahan perlu menjadi antara keutamaan kerana harga rumah yang tinggi menyukarkan golongan muda, khususnya mereka yang baru memulakan kerjaya, untuk memiliki kediaman sendiri.
“Golongan belia sekarang kebanyakannya baru hendak membina kerjaya. Jadi, agak sukar untuk menampung harga rumah di Kuching. Saya berharap harga rumah dapat dikurangkan supaya lebih ramai golongan muda mampu memilikinya,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Sementara itu, Muhammad Fazli Abdullah, 29, dari Belia Cawangan DUN N15 Asajaya berharap pembangunan di kawasan kampung terus diberi perhatian, termasuk aspek penyelenggaraan jalan raya, sekolah dan penyediaan kemudahan sukan.

“Pembangunan yang kami harapkan daripada GPS termasuk penambahbaikan kemudahan di kampung seperti padang bola sepak dan kemudahan sukan lain.
“Penduduk kampung kami memang aktif bersukan, terutama bermain bola sepak, futsal dan badminton. Jadi, kami berharap setiap kampung mendapat kemudahan dan pembangunan yang lebih baik,” katanya.
Bagi Jacqlynn Juliet, 21, dari Rumah Jalit, Pasinai, Palawan, Pelagus, Kapit, masalah bekalan air bersih antara perkara yang paling memerlukan perhatian, khususnya di kawasan pedalaman.
Katanya, penduduk bergantung kepada bekalan air melalui saluran paip yang disambungkan dari sungai, namun keadaan menjadi sukar apabila hujan menyebabkan paip bocor atau air berubah menjadi keruh.
“Kalau waktu hujan, paip tersebut mungkin bocor dan sumber air pula menjadi keruh berwarna kuning. Jadi, agak menyukarkan kerja-kerja harian,” katanya.

Dalam pada itu, Harith Sulhie dari DUN N6 Tupong berharap kemudahan untuk golongan belia yang berada di luar Sarawak pulang mengundi dapat dipertingkatkan, khususnya bagi mahasiswa dan mahasiswi.
Menurutnya, jumlah pengundi muda di kawasannya semakin meningkat dan ramai daripada mereka berada di luar Sarawak ketika pilihan raya berlangsung.
“Dengan adanya pengundi muda yang semakin ramai, kebanyakan belia berada di luar Sarawak. Kita berharap kemudahan seperti penerbangan dapat dipermudahkan lagi, terutama untuk golongan belia dan mahasiswa yang mahu pulang mengundi,” katanya.
Beliau turut berharap bantuan kepada golongan belia menerusi inisiatif seperti Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) diteruskan dalam manifesto GPS akan datang.
Menyentuh mengenai penglibatan wanita dalam kepimpinan, kesemua responden turut menyokong usaha memberi lebih banyak ruang kepada wanita untuk memegang jawatan kepimpinan dan melibatkan diri dalam politik.

Harith berkata, pendedahan kepada bidang kepimpinan perlu dimulakan sejak usia muda, termasuk melalui penglibatan dalam sayap belia parti.
“Kita menyokong kepimpinan wanita di Sarawak dan berharap lebih ramai pemimpin wanita dapat dilahirkan. Kita juga mahu mereka didedahkan kepada politik dan asas kepimpinan sejak usia muda,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud dan Adele Rissa




