Premis makanan di Sri Aman dikenakan tiga notis selepas aduan media sosial

Facebook
WhatsApp
PEMERIKSAAN dijalankan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan susulan aduan yang diterima menerusi platform media sosial. Foto Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman

SIMANGGANG, 22 November: Aduan pengguna menerusi media sosial Facebook membawa kepada tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah premis makanan di Sri Aman selepas pemeriksaan mendapati beberapa ketidakpatuhan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

Menurut kenyataan Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman, pemeriksaan telah dijalankan oleh Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan semalam susulan aduan yang diterima menerusi platform media sosial berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kelemahan melibatkan aspek kebersihan premis, kaedah penyimpanan makanan serta pematuhan keperluan vaksinasi Anti Tifoid dalam kalangan pengendali makanan.

Susulan penemuan itu, pihak berkuasa mengeluarkan dua notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009), masing-masing berkaitan ketidakpatuhan vaksinasi Anti Tifoid dan keperluan penyimpanan makanan.

Selain itu, satu lagi notis dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Pihak pengurusan premis turut diberikan teguran serta arahan supaya tindakan pembetulan segera dilaksanakan bagi menangani semua ketidakpatuhan yang dikenal pasti.

Pemeriksaan susulan akan dijalankan dalam masa terdekat bagi memastikan pihak premis mengambil tindakan sewajarnya dan mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan yang ditetapkan.

Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan setiap premis makanan mengekalkan tahap kebersihan serta keselamatan makanan yang ditetapkan.

Usaha itu penting bagi melindungi kesihatan pengguna selain memastikan makanan yang disediakan dan dijual kepada orang ramai selamat untuk dinikmati.

Oleh Adi Safarman