SIMANGGANG, 22 November: Bekalan air kepada pengguna di Bandar Simanggang, Stumbin, Tanjung Bijat dan Seduku Agropolitan dijangka kembali pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja pembaikan komponen paip utama bersaiz 700 milimeter (mm) berjaya disiapkan.
Menurut kenyataan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sri Aman, kerja-kerja pembaikan itu dilaksanakan susulan kejadian kebocoran paip di Jalan Paip yang berpunca daripada kerosakan komponen paip washout bersaiz 160mm yang bersambung dengan paip utama 700mm jenis MSCL.
Bagi membolehkan kerja pembaikan dilakukan dengan selamat dan berkesan, bekalan melalui paip utama berkenaan terpaksa ditutup sementara, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air atau tekanan air rendah di beberapa kawasan sekitar Bandar Simanggang.
Kerja-kerja pembaikan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik JBALB bermula jam 9 malam tadi.
Dalam makluman terkini, JBALB Bahagian Sri Aman mengesahkan kerja-kerja baik pulih komponen paip utama MSCL 700mm telah selesai dilaksanakan dan injap utama bekalan air telah dibuka semula.
Bagaimanapun, proses pemulihan bekalan air memerlukan sedikit masa bagi membolehkan tekanan dalam sistem paip kembali stabil.
Pengguna yang tinggal di penghujung jajaran paip serta kawasan tanah tinggi dijangka masih mengalami gangguan bekalan air sehingga tekanan air pulih sepenuhnya.
Sehubungan itu, JBALB memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan menghargai kesabaran serta kerjasama pengguna sepanjang tempoh gangguan berkenaan.
Sebarang aduan atau pertanyaan boleh disalurkan kepada Pusat Panggilan JBALB Sarawak menerusi talian 082-262211, manakala perkembangan terkini boleh diperoleh melalui Facebook JBALB Sarawak dan Facebook Rakan JBALB Bahagian Sri Aman.
Oleh Adi Safarman





