SIMANGGANG: Penat bertarung selama dua jam sebelum berjaya mendaratkan seekor ikan labang seberat 16.5 kilogram (kg) berbaloi bagi seorang nelayan di sini apabila dia berjaya menjual hasil tangkapan itu, pada harga RM1,650.
Nelayan yang dikenali sebagai Allu dari Kampung Pak, Engkilili memberitahu dia langsung tidak menyangka mendapat rezeki lumayan kerana selama ini belum pernah berjaya menangkap ikan sebesar itu.
“Hasil tangkapan ini ternyata menjadi rezeki segera buat saya apabila ada pembeli yang sanggup membelinya dengan harga RM1,650 atau RM100 bagi sekilogram.
“Inilah kali pertama saya menangkap dan melihat ikan labang sebesar itu di Sungai Pak Engklili, mungkin antara yang terbesar pernah ditangkap oleh saya sebagai nelayan setakat ini,” katanya yang ditemui semasa membawa ikan itu ke Pasar Simanggang semalam.
Menceritakan pengalamannya memperoleh ikan labang itu, kata Allu dia sudah terbayangkan tunggul kayu yang besar ketika cuba mengangkat pelampung yang berat itu.
“Saya terbayang tunggul kayu tersangkut ketika cuba mengangkat pelampung yang berat, tetapi sebaik timbul saya sungguh gembira melihat ikan labang yang sangat besar.
“Saya mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengangkat ikan labanh itu masuk ke dalam bot kerana ia terlalu berat dan licin sehingga memaksa kami menggunakan tali untuk diikat pada bahagian kepala ikan itu,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa pengunjung tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar dan menyentuh ikan tersebut sebaik sahaja sampai di Pasar Simanggang.
Oleh ADI SAFARMAN
Keterangan gambar
Lumayan… Allu yang berjaya mendaratkan seekor ikan labanh seberat 16.5 kg yang dijual pada harga RM1,650.