Kanowit kekal catat IPU sangat tidak sihat

Facebook
WhatsApp
KANOWIT kekal mencatat IPU pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 216 setakat 12.00 tengah hari ini.

KUCHING: Kanowit kekal merekodkan kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan 216 setakat 12.00 tengah hari ini.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), lapan kawasan lain pula mencatat kualiti udara pada tahap tidak sihat dengan bacaan melebihi 100.

Lubok Antu mencatat bacaan kedua tertinggi iaitu 180, diikuti Serian 175, Kuching 163, Samarahan 162 dan Sri Aman 158.

Turut berada pada tahap tidak sihat ialah Betong dengan bacaan 151, Belaga 144 dan Tebedu 138.

Sementara itu, sebanyak 12 kawasan mencatat kualiti udara pada tahap sederhana iaitu Sarikei (89), Sibu (82), Mukah (75), Kapit (88), Bintulu (86), Samalaju (77), Miri (67), ILP Miri (66), Limbang (60), Lundu (89), Lawas (62) dan Bario (52).

Berbanding bacaan pada 9.00 pagi, beberapa kawasan menunjukkan sedikit penurunan IPU termasuk Kuching daripada 166 kepada 163, Samarahan (165 kepada 162), Serian (178 kepada 175) dan Sri Aman (163 kepada 158).

Bagaimanapun, bacaan di Kanowit dan Lubok Antu kekal masing-masing pada 216 dan 180 dalam tempoh berkenaan.

Mengikut kategori IPU, bacaan antara 51 hingga 100 dikategorikan sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, manakala 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Oleh Norman B