ENGKILILI: Kawasan penanaman padi di Skim Tisak, Engkilili, bakal diberi nafas baharu menerusi perancangan pembangunan dan naik taraf infrastruktur pertanian bagi meningkatkan produktiviti serta mengoptimumkan pengeluaran padi tempatan.
Perkara itu dibincangkan dalam Sesi Dialog Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) Tahun 2026 Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Rumah Tracy Samba, Tisak Tengah, hari ini.
Sesi berkenaan memberi penerangan kepada peserta mengenai perancangan pembangunan kawasan penanaman padi bagi tahun 2027, selain menjadi platform untuk Jabatan Pertanian Sarawak mendapatkan maklum balas berhubung keperluan serta keadaan semasa kawasan berkenaan.
Taklimat disampaikan Penolong Pegawai Pertanian, Pejabat Pertanian Bahagian Sri Aman, Chadum Lawan, yang menjelaskan pembangunan dan naik taraf infrastruktur itu merupakan antara usaha memperkasa semula kawasan sawah yang kurang diusahakan.
Menurut beliau, kawasan Skim Tisak yang mempunyai keluasan kira-kira 10 hektar berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran padi yang lebih produktif.
“Pembangunan ini melibatkan tiga rumah panjang iaitu Rumah Tracy Samba, Tisak Tengah; Rumah Achin, Tisak Langkong; dan Rumah Siti, Tisak Ili, dengan keseluruhan seramai 70 peserta,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur yang dicadangkan diharap membolehkan kawasan berkenaan diusahakan secara lebih optimum, dengan sasaran sehingga dua musim penanaman padi setahun, tertakluk kepada kesesuaian teknikal, pengurusan tanaman dan penyertaan aktif peserta.
Katanya, kerajaan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) turut memberi penekanan terhadap pengukuhan sektor agromakanan negeri, termasuk usaha meningkatkan pengeluaran padi.
“Kerajaan Sarawak menyasarkan peningkatan Tahap Kemandirian (SSL) padi kepada 60 peratus menjelang 2030 dan pembangunan kawasan seperti Skim Tisak boleh menyokong usaha tersebut,” katanya.
Usaha memperkasa semula kawasan penanaman padi itu bukan sahaja berpotensi meningkatkan produktiviti dan aktiviti pertanian peserta, malah dapat menyumbang kepada peningkatan pengeluaran padi tempatan serta menyokong agenda keterjaminan makanan Sarawak.
Sesi dialog turut memberi ruang kepada peserta dan komuniti setempat mengemukakan pandangan serta keperluan mereka supaya perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan bersesuaian dengan keadaan sebenar di lapangan.
Turut hadir Penolong Pegawai Pertanian Tay Guang Tong yang mewakili Ketua Penolong Pengarah Bahagian Padi dan Bijian; Chadum Lawan yang mewakili Pegawai Pertanian Bahagian Sri Aman; Mathew Brodie yang mewakili Pegawai Menguasa Pejabat Pertanian Daerah Sri Aman; serta Julius Intai yang mewakili Pegawai Menguasa Pejabat Pertanian Daerah Engkilili.
Hadir sama warga kerja Pejabat Pertanian Bahagian Sri Aman, Pejabat Pertanian Daerah Sri Aman dan Pejabat Pertanian Daerah Engkilili serta peserta dan wakil komuniti daripada tiga rumah panjang yang terlibat.
Oleh Adi Safarman



