MIRI: Kesabaran selama tiga hari akhirnya membuahkan hasil apabila Team Eric Cat berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 2.22 meter di kawasan Luak Bay, di sini, hari ini.
Menurut Eric menerusi hantaran di Facebook, operasi memasang umpan dimulakan pada Selasa lalu selepas pihaknya menerima aduan penduduk mengenai kehadiran buaya di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pasukannya menjalankan pemantauan selama tiga hari berturut-turut walaupun umpan yang dipasang pada peringkat awal tidak disentuh.
“Semangat tidak pernah luntur dan operasi diteruskan demi memastikan keselamatan penduduk di kawasan tersebut,” katanya.

Usaha itu akhirnya membuahkan hasil hari ini apabila pasukan berkenaan berjaya menangkap buaya terbabit.
Eric berkata, kejayaan itu hasil kesabaran, usaha gigih dan komitmen pasukan sepanjang operasi dijalankan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang menyalurkan maklumat mengenai kehadiran buaya berkenaan sehingga membolehkan operasi dilaksanakan.
“Tiga hari pasang umpan, akhirnya berjaya! Team Eric Cat memang padu!” katanya.
Oleh Liong Chai Ling



