BAU: Polis menjalankan dua program ceramah pencegahan jenayah komersial di Paku Quarry dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bobak, di sini hari ini, melibatkan 21 pekerja, guru dan kakitangan.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai trend terkini jenayah komersial, selain memberi panduan praktikal bagi mengelakkan masyarakat menjadi mangsa penipuan.
Beliau berkata, sesi pertama berlangsung di Paku Quarry dari 10.00 pagi hingga 11.20 pagi dan dihadiri tujuh pekerja.
Katanya, sesi kedua pula diadakan di bilik mesyuarat SK Bobak dari 2.00 petang hingga 4.00 petang, melibatkan 14 guru dan kakitangan.
“Antara jenayah yang diberi penekanan ialah penipuan e-dagang, penipuan telefon, pinjaman tidak wujud, akaun keldai, ‘love scam’ serta penipuan bersemuka membabitkan pembayaran melalui kod QR,” katanya.

Haide berkata, peserta turut diberi penerangan mengenai langkah pencegahan serta perkhidmatan yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), termasuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997, aplikasi Whoscall, portal Semak Mule dan Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Katanya, risalah turut diedarkan bagi memberikan panduan praktikal kepada peserta untuk mengenal pasti dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah komersial.
“Program berjalan lancar dan mendapat sambutan positif daripada pihak Paku Quarry dan SK Bobak.
“Usaha seperti ini penting dalam membentuk komuniti yang celik digital serta lebih peka terhadap risiko jenayah siber dan komersial,” katanya. Oleh Connie Chieng



