- 10 pasukan terima sumbangan ADUN Kalaka
- RM15,000 nanti gelaran “Raja Sungai” Krian
SARATOK: Sebanyak 10 pasukan yang bakal menyertai Regata Krian 2024 menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Antara penerima ialah Sangga Buana Kampung Kupang, Cahaya Helang Tasik, Jalak Lenteng Cahaya Baru Kabak, Lanun Dinara Cut, Kijang Bunian, Puteri Krian, Raja Burung Lang Ganas; Kupang. COM, Seri Sarawak dan Putera Todak.
“Dengan sumbangan kewangan yang disampaikan ini, saya harap dapat meringankan beban pengurus-pengurus pasukan lumba perahu yang aktif di DUN Kalaka dan bertarung dengan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.
Sumbangan yang disampaikan itu, jelasnya, bagi menampung kos penyertaan setiap pasukan lumba perahu dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka yang terlibat dalam Regata Sungai Krian, kali ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat PBB Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad telah mewakili ADUN Kalaka menyampaikan sumbangan kepada 10 pasukan tersebut di Pejabat Pusat Khidmat DUN Kalaka.
Hadiah bernilai RM15,000 pula, katanya, bakal menjadi rebutan gelaran ‘Raja Air Sungai Krian’ bersempena penganjuran Regata Krian Pesta Saratok 2024 yang berlangsung pada 25 hingga 27 Oktober nanti.
Mengulas lanjut berkenaan pertandingan, jelasnya, sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan pada Regata Krian, tahun ini.
Antara kategori dipertandingkan ialah lumba perahu Bidar 10, 15, 20, 25 dan 30 pengkayuh dan acara marathon 30 pengkayuh yang melibatkan jarak sejauh enam kilometer.
“Selain lumba perahu, terdapat beberapa acara lain berlangsung sepanjang tiga hari itu antaranya pada sebelah malam terdapat Saratok Got Talent, Pertandingan Perahu Berhias, Pertandingan Ratu Etnik dan Pertandingan Bertandak,” katanya.
Mohamad Duri menyatakan akan memberikan sokongan kepada penganjuran Pesta Saratok 2024 dengan DUN Krian menjadi tuan rumah untuk mengendalikan acara itu, tahun ini.
“Kita (DUN Kalaka) akan menyokong dan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap penganjuran bersama pesta itu nanti dan memastikan Pesta Saratok 2024 dilaksanakan sebaiknya.
“Pesta Saratok 2024 pastinya sesuatu yang dinanti-nantikan peniaga tempatan mahupun luar daerah bagi meraih dan menambah pendapatan mereka,” tambah Mohamad Duri.
Oleh Adi Safarman