KUALA LUMPUR: Pusat Beli-Belah Sunway menjadi pengendali pusat beli-belah pertama di Malaysia yang melaksanakan ekosistem pusat beli-belah pintar bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT).
Menerusi kenyataan hari ini, Pusat Beli-Belah Sunway memaklumkan inisiatif berkenaan menyepadukan teknologi digital di seluruh portfolio pusat beli-belahnya bagi mengurangkan kebergantungan terhadap proses manual, meningkatkan kecekapan pengurusan serta menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar kepada pengunjung.
Inisiatif itu didorong oleh kejayaan pelaksanaan integrasi IoT di Sunway Pyramid pada 2021 dan Sunway Square, sebelum ekosistem berkenaan diperluas secara berperingkat ke seluruh portfolio pusat beli-belah tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Beli-Belah Sunway, HC Chan berkata, teknologi digital akan terus menjadi pemboleh daya kritikal dan strategik kepada perniagaan dalam menghadapi masa hadapan, selain membolehkan proses membuat keputusan dilakukan dengan lebih pantas berasaskan maklumat.
“Ketepatan masa, kejituan dan kerelevanan membolehkan tindakan intervensi yang lebih tajam dan tuntas dalam pasaran yang kompetitif,” katanya menerusi kenyataan sama.
Menurut kenyataan itu, antara teknologi yang diperkenalkan ialah Pusat Operasi Bersepadu (IOC) yang berfungsi sebagai pusat arahan utama dengan menyepadukan aspek keselamatan, pengurusan fasiliti serta operasi proaktif di Bandar Sunway, Kuala Lumpur.
Pusat beli-belah itu turut disokong menerusi kesalinghubungan 5G, tandas pintar dilengkapi sistem sensor automatik, eskalator pintar dengan sensor pergerakan dan pengesanan kerosakan masa nyata, sistem kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan AI serta platform berpusat teknologi operasi runcit.
“Dengan menggantikan pemantauan manual dan proses reaktif kepada sistem automatik berasaskan data, Pusat Beli-Belah Sunway dapat mengurangkan keperluan tenaga kerja secara signifikan dalam pengurusan fasiliti, di samping meningkatkan standard persekitaran yang disediakan,” menurut kenyataan itu.
Selaras dengan agenda kelestarian, Pusat Beli-Belah Sunway turut menggunakan mesin pemproses sisa makanan berasaskan mikrob dan enzim bagi menukarkan sisa makanan kepada air kelabu yang berpotensi diproses menjadi air minuman.
Teknologi itu sekali gus membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal serta keperluan kutipan sisa secara kerap.
Bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, Pusat Beli-Belah Sunway turut memperkenalkan pelbagai ciri digital termasuk chatbot pelanggan, Sunway Super App, navigasi masa nyata, ‘Eat Claw’ yang membantu pengunjung mendapatkan cadangan restoran, parkir pintar menggunakan teknologi pengecaman plat kenderaan serta sistem panduan parkir video bagi memudahkan pengunjung mencari lokasi kenderaan mereka.
Bagi meraikan pencapaian tersebut, Pusat Beli-Belah Sunway turut melancarkan sebuah video yang mengetengahkan konsep pusat beli-belah pintar menerusi gabungan pelbagai inovasi di sebalik tabir bagi mewujudkan pengalaman membeli-belah yang lebih mudah, selesa dan berkualiti kepada pengunjung.
Pada masa ini, Pusat Beli-Belah Sunway mengendalikan 16 pembangunan runcit dengan keluasan boleh disewa bersih (NLA) sebanyak 9.5 juta kaki persegi, dengan pusat beli-belahnya terletak secara strategik di pasaran bandar utama di seluruh Semenanjung Malaysia. – Bernama




