74 warga Indonesia dipindahkan ke negara asal melalui ICQS Tebedu

Facebook
WhatsApp
SEKITAR proses pemindahan 74 Orang Yang Dipindahkan (OYD) warga Indonesia dari Depot Imigresen Semuja ke Kompleks ICQS Tebedu semalam. Kesemua OYD kemudian diserahkan kepada pihak Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching untuk urusan selanjutnya.

SERIAN, 6 November: Seramai 74 warga Indonesia yang ditempatkan di Depot Imigresen Semuja dipindahkan ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, semalam.

Pemindahan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak semalam, itu dilakukan melalui jalan darat sebagai sebahagian daripada proses penghantaran Orang Yang Dipindahkan (OYD) ke negara asal dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.

Daripada jumlah keseluruhan, seramai 49 lelaki dewasa, 23 perempuan dewasa dan dua kanak-kanak terlibat dalam pemindahan berkenaan.

JIM Sarawak dapam kenyataan hari ini berkata, urusan pemindahan itu turut melibatkan pegawai dan anggota Depot Imigresen Semuja yang bertanggungjawab menguruskan dokumentasi serta mengiringi OYD bagi memastikan kelancaran operasi.

“Kesemua 74 OYD berkenaan kemudian diserahkan kepada pegawai dan staf teknikal imigresen daripada Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching untuk urusan selanjutnya,”katanya dalam kenyataan.

JIM Sarawak memaklumkan, keseluruhan proses pemindahan dilaksanakan dengan lancar, selamat dan terkawal mengikut prosedur yang ditetapkan.

Jabatan itu turut menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan dan pengurusan imigresen secara profesional serta berintegriti bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.