KUCHING, 6 November: Kerajaan Persekutuan digesa memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global, khususnya berkaitan gangguan bekalan tenaga dan makanan serta tekanan terhadap peluang pekerjaan golongan muda.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata, konflik berpanjangan di Ukraine, krisis kemanusiaan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat, termasuk ancaman terhadap laluan pelayaran di Selat Hormuz, menunjukkan bahawa risiko keselamatan kini semakin meluas dan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Menurutnya, gangguan terhadap laluan bekalan minyak antarabangsa berpotensi meningkatkan kos pengangkutan dan pengeluaran serta harga barangan keperluan harian, sekali gus menjejaskan kestabilan ekonomi negara.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang pernah dikemukakan Petronas, hampir 40 peratus daripada keperluan minyak mentah Malaysia melalui Selat Hormuz, menjadikan negara turut terdedah kepada gangguan bekalan meskipun merupakan pengeluar minyak.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa langkah memperkukuh ketahanan bekalan negara perlu dilaksanakan lebih awal bagi mengurangkan risiko gangguan terhadap kehidupan rakyat.
Dalam kenyataan media hari ini, Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Pertahanan dan Keselamatan, Majlis Dewan Negara berkata, perkembangan di Eropah turut memberikan pengajaran mengenai tekanan kos sara hidup, perumahan dan peluang pekerjaan dalam kalangan generasi muda.
Katanya, berdasarkan data Eurostat, kadar pengangguran belia di Kesatuan Eropah pada September 2026 mencecah 15.5 peratus, sekali gus memperlihatkan kepentingan menangani cabaran ekonomi sebelum menjejaskan keyakinan sosial.
Beliau turut mencadangkan supaya Malaysia meneliti pendekatan kesiapsiagaan isi rumah selama sekurang-kurangnya 72 jam seperti yang digariskan oleh Suruhanjaya Eropah, khususnya bagi menghadapi kecemasan, gangguan bekalan elektrik dan bencana alam.
Menurutnya, pendekatan itu boleh disesuaikan dengan keadaan tempatan, terutama di kawasan yang sering dilanda banjir atau berdepan risiko terputus hubungan pengangkutan.
Ahmad turut mengesyorkan supaya penilaian ketahanan negara dilaksanakan secara menyeluruh dengan melibatkan Majlis Keselamatan Negara, kementerian berkaitan, Petronas serta kerajaan negeri bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang gangguan bekalan antarabangsa.
Antara keutamaan yang dicadangkan termasuk memperkukuh stok penimbal petrol, diesel, gas memasak dan makanan asas, selain menjalankan ujian tekanan bagi menilai keupayaan negara menghadapi gangguan bekalan selama 30, 60 dan 90 hari.
Bagi Sarawak dan Sabah, beliau menekankan keperluan memberikan perhatian khusus terhadap bekalan di kawasan pedalaman, sempadan, pulau, hospital serta penempatan terpencil berikutan cabaran logistik dan jarak pengangkutan yang berbeza berbanding Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, kesiapsiagaan agensi keselamatan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi sempadan perlu diperkukuh seiring dengan usaha membangunkan pengeluaran makanan serta keupayaan logistik tempatan.
Beliau turut mengingatkan bahawa perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan automasi perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti tanpa mengabaikan kebajikan pekerja, termasuk melalui penyediaan latihan semula dan peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Ahmad berharap aspek ketahanan bekalan tenaga, makanan, keselamatan dan pekerjaan, khususnya berkaitan pembangunan Sarawak serta Sabah, diberikan penekanan dalam pelaksanaan Belanjawan 2027 dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Oleh Norman B



