KUALA LUMPUR, 6 November: Kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini diisytiharkan sebagai suatu penjara bagi maksud pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah.
Perisytiharan itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menurut peruntukan Seksyen 3 Akta Penjara 1995 [Akta 537].
Perisytiharan berkenaan disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh hari ini, yang boleh diakses menerusi portal rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut warta itu, kawasan yang diisytiharkan sebagai penjara merangkumi semua bangunan dan kawasan tanah seluas 4,558.975 meter persegi di No. 11, Jalan Langgak Duta, yang terletak di atas Lot 5746, Mukim Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur.
“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 3 Akta Penjara 1995 [Akta 537], Menteri mengisytiharkan semua bangunan dan kawasan dengan keluasan 4,558.975 meter persegi di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, 50480 Kuala Lumpur yang terletak di atas Lot 5746, Mukim Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai suatu penjara bagi maksud Akta bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah,” menurut warta itu.
Perisytiharan itu berkuat kuasa mulai tarikh ia dimeterai, iaitu hari ini.
Najib dilaporkan selesai membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, AGC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas perdana menteri itu ditangguhkan sementara sehingga penelitian dan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan selesai dibuat.
Menurut AGC, sepanjang tempoh penangguhan itu, Najib akan kekal di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan. – Bernama





