KUALA LUMPUR, 6 November: Pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan sementara sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) berkenaan selesai.
Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa sepanjang tempoh penangguhan itu, Najib akan kekal di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.
“Penangguhan sementara ini bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya merupakan langkah bagi memastikan titah tersebut dan perintah mahkamah yang berkaitan dilaksanakan dengan tepat, teratur dan selaras dengan kedudukan undang-undang sebenar,” menurut AGC dalam kenyataan hari ini.
AGC memaklumkan bahawa tindakan selanjutnya akan diambil selepas proses penelitian dan penjelasan berhubung perkara itu selesai.
Menurut AGC, pihaknya mengambil maklum Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 Sept 2026 yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim terhadap Najib, yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan.
AGC memaklumkan bahawa timbul persoalan perundangan berhubung interpretasi frasa “menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta” serta kesannya terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International.
Menurut AGC, penelitian lanjut diperlukan bagi menentukan sama ada pembayaran denda RM50 juta itu hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala baki hukuman penjara bagi kes berkenaan masih perlu dijalani hingga 23 Ogos 2028.
“Berdasarkan interpretasi ini, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara tersebut dan bukannya penamatan hukuman penjara,” menurut kenyataan itu.
Satu lagi interpretasi ialah pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus membawa kesan bahawa keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap telah selesai.
Menurut AGC, kekeliruan itu turut melibatkan implikasi undang-undang Perintah Pelepasan Pembayaran Denda bertarikh 6 November 2026 yang mengarahkan pembebasan serta-merta, namun pada masa sama menetapkan bahawa baki hukuman perlu dijalani menerusi tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Selain itu, AGC memaklumkan bahawa status baki hukuman penjara bagi kes SRC berkenaan turut mempunyai implikasi langsung terhadap pelaksanaan hukuman penjara Najib bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hal ini berikutan perintah mahkamah yang menetapkan bahawa hukuman bagi kes 1MDB hendaklah bermula selepas hukuman bagi kes SRC International selesai dijalani. Perkara itu turut mengambil kira permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB yang ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Okt 2026.
“Memandangkan isu-isu dibangkitkan melibatkan persoalan perundangan yang kompleks, mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan titah pengampunan dan perintah mahkamah, serta merupakan suatu keadaan belum pernah dihadapi sebelum ini, AGC berpandangan bahawa penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil,” menurut kenyataan itu.
Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pegawai khas kepada Najib, Ahmad Lutfi Azhar, hadir di mahkamah pada 11.30 pagi bagi menyelesaikan urusan pembayaran itu dan melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum pembayaran dimuktamadkan.
Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. – Bernama




