
MIRI: Golongan berkemampuan harus tampil membantu golongan istimewa dan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini.
Ia adalah seiring dengan usaha kerajaan dalam membentuk sebuah masyarakat penyayang.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata demikian pada Lawatan Amal ke Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Istimewa Miri (PIBAKIS) di Lutong, hari ini.
“Bersama-sama kita mempromosikan masyarakat penyayang, seperti yang kerajaan mahukan.
“Bagi yang berkemampuan boleh membantu mereka yang kurang bernasib baik yang memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah, kerajaan sangat mengambil berat terhadap golongan istimewa.
“Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menawarkan pelbagai skim bantuan untuk golongan itu agar kebajikan mereka terus terjaga dan terpelihara.
“Kerajaan juga menubuhkan sekolah pendidikan khas dengan guru-guru terlatih untuk golongan kurang upaya ini,” jelasnya lagi.
Program lawatan itu adalah anjuran Kumpulan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kawasan Parlimen Miri Sibuti sempena sambutan Hari Wanita yang melibatkan ahli wanita dari lima cawangan SUPP iaitu Piasau, Pujut, Senadin, Lambir dan Bekenu.
Turut hadir, pengerusi majlis, Melinda Chan dan Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Miri, Hasima Hamdan.
OLEH ADUM LIU