Jalan bersimen RM100,000 tingkat akses, buka peluang ekonomi Rumah Sujang

Facebook
WhatsApp
PENASIHAT di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom merasmikan projek jalan bersimen di Rumah Sujang. Foto Pusat Khidmat DUN Pakan

PAKAN, 4 Oktober: Penduduk Rumah Sujang, Sungai Setubu, Babai kini menikmati akses lebih selesa dan selamat menerusi siapnya projek jalan bersimen bernilai RM100,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), sekali gus memudahkan pergerakan ke kawasan pertanian dan menyokong aktiviti ekonomi setempat.

Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, penyediaan infrastruktur yang baik penting bagi membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada masyarakat luar bandar.

Mawan turut menekankan kepentingan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) mengekalkan hubungan rapat dengan wakil rakyat serta agensi kerajaan supaya keperluan masyarakat di rumah panjang dapat disalurkan kepada pihak berkaitan.

“KMKK perlu sentiasa aktif dan mendampingi wakil rakyat serta agensi kerajaan. 

“Ini penting supaya tidak ada maklumat berkaitan pembangunan yang terlepas, khususnya yang melibatkan keperluan masyarakat di rumah panjang,” katanya.

TAN Sri William Mawan Ikom berucap di majlis perasmian projek jalan bersimen di Rumah Sujang. Foto Pusat Khidmat DUN Pakan

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan berkata demikian ketika merasmikan projek jalan bersimen di Rumah Sujang, semalam.

Katanya, komunikasi berterusan antara KMKK, pejabat wakil rakyat dan pejabat daerah juga penting supaya masyarakat sentiasa mendapat maklumat mengenai peluang, bantuan serta projek pembangunan yang disediakan kerajaan.

“Permohonan berkaitan pembukaan jalan pertanian turut diberi perhatian kerana kemudahan itu mampu membuka akses ke kawasan yang berpotensi untuk diusahakan.

“Penyediaan jalan pertanian bukan sahaja memudahkan penduduk pergi ke kebun, malah dapat merancakkan aktiviti pertanian dengan membolehkan tanah yang masih terbiar dimanfaatkan secara produktif,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat melihat sektor pertanian sebagai sumber ekonomi yang berpotensi meningkatkan pendapatan isi rumah, khususnya dengan mengusahakan tanaman yang mempunyai permintaan pasaran.

“Penduduk perlu melihat pertanian sebagai satu peluang untuk menjana pendapatan. 

“Tanah yang ada hendaklah dimanfaatkan dengan mengusahakan tanaman yang mempunyai pasaran supaya hasilnya boleh dijual dan memberi pulangan kepada keluarga,” katanya lagi.

PENDUDUK rumah panjang menyambut ketibaan Tan Sri William Mawan Ikom. Foto Pusat Khidmat DUN Pakan

Menurutnya, pengeluaran hasil pertanian juga perlu bergerak seiring dengan peluang pasaran supaya usaha penduduk dapat memberikan pulangan ekonomi yang lebih baik.

Sehubungan dengan itu, Mawan menyeru masyarakat memanfaatkan pembukaan Stolport Bebuling yang mula beroperasi baru-baru ini sebagai saluran untuk memasarkan produk pertanian dari kawasan sekitar.

Katanya, kemudahan dan inisiatif yang disediakan kerajaan perlu digunakan sepenuhnya bagi meningkatkan pengeluaran serta memperluas pasaran hasil pertanian masyarakat luar bandar.

“Usaha pembangunan di kawasan Pakan akan terus merangkumi penyediaan kemudahan asas serta sokongan kepada aktiviti ekonomi dan pertanian bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk,” ujarnya.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Tadbir, Dana Ungki dan Pemanca Sedau Mgpali.

Oleh Earl Anek