PETRA JAYA, 4 Oktober: Usahawan mikro Sarawak perlu lebih berani meneroka pasaran halal global yang menawarkan peluang besar, termasuk di negara-negara Asia Barat, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata, industri halal mempunyai potensi besar untuk diterokai usahawan tempatan bukan sahaja menerusi produk makanan dan agromakanan, malah meliputi sektor fesyen, minuman, kraftangan serta pelbagai produk pengguna lain.
Menurutnya, usahawan perlu memahami keperluan dan piawaian pasaran halal sekiranya mahu membawa produk tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Kalau kita nak terlibat dalam industri halal ini, potensi industri halal ini sangat besar. Kita kena tahu apakah syarat-syarat untuk kita terlibat dalam pemasaran halal ini.
“Bukan sahaja dari segi makanan dan agromakanan, malah dari segi pemprosesan dan fesyen,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Usahawan Kebajikan 2026, di Pusat Acara MetroCity, di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, peluang pasaran halal khususnya di Asia Barat amat besar, termasuk menerusi keperluan pengguna di Makkah dan Madinah yang boleh dimanfaatkan oleh pengusaha tempatan.
Katanya, usahawan Sarawak juga berpotensi membekalkan pelbagai produk seperti minuman, pakaian dan kraftangan sekiranya mampu memenuhi keperluan pasaran serta menghasilkan produk berkualiti.
Beliau memberi contoh produk tasbih yang banyak berada di pasaran Arab Saudi ketika ini didatangkan dari China, sedangkan Sarawak sendiri mempunyai keupayaan menghasilkan produk kraftangan yang mempunyai nilai komersial tinggi.
“Kalau kita susunnya dengan baik, reka bentuknya betul-betul, ia boleh dijadikan tasbih dan kita boleh menembusi pasaran di Madinah dan Makkah,” katanya.
Dalam pada itu, Awang Tengah berkata, produk fesyen juga mempunyai ruang besar untuk diterokai apabila banyak pakaian yang digunakan di pasaran Asia Barat ketika ini datang dari Bangladesh, Sri Lanka dan India.
“Sedangkan kita mempunyai kemampuan. Kita ada kemampuan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak akan terus membantu usahawan tempatan meneroka pasaran lebih luas menerusi misi perdagangan serta jaringan pejabat perdagangan dan pelancongan Sarawak di luar negara.
Katanya, Sarawak kini mempunyai Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Singapura (STATOS) dan Brunei (STATOB), selain merancang penubuhan pejabat sama di Pontianak, Indonesia serta Abu Dhabi bagi membuka akses lebih luas kepada pasaran antarabangsa.
“Yang penting ialah bagaimana kita nak cuba menembusi pasaran yang lebih luas. Kita harus tingkatkan kualiti produk kita dan kualiti perkhidmatan kita.
“Pasaran antarabangsa sanggup membayar lebih asalkan kualiti kita bagus dan mematuhi piawaian yang diperlukan,” katanya.
Awang Tengah berkata, usahawan mikro juga perlu memanfaatkan peluang daripada kemasukan pelaburan besar ke Sarawak dengan menjadi pembekal produk, makanan dan perkhidmatan kepada syarikat serta pekerja industri.
Beliau berkata, kewujudan pelaburan besar seperti di Taman Perindustrian Sama Jaya yang kini mempunyai hampir 18,000 pekerja turut membuka peluang pasaran kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan.
“Ini peluang kita. Kita perlu pastikan kualiti ada dan kita berkemampuan untuk membekalkan apa yang diperlukan,” katanya.




