Dua projek jalan raya perkukuh jaringan perhubungan Sarikei

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii melakukan pecah tanah projek menaik taraf jalan. Foto Pusat Khidmat DUN Repok

SARIKEI, 4 Oktober: Projek menaik taraf Jalan Nyelong ByPass dan pembinaan Nyelong Bypass/Kwong Ming Minah bakal memperkukuh jaringan jalan raya di Sarikei.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, jalan raya bukan sekadar kemudahan perhubungan, sebaliknya mempunyai peranan besar dalam merancakkan kegiatan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.

“Jalan raya bukan sekadar binaan berturap yang menghubungkan satu destinasi dengan destinasi yang lain.

“Jalan raya merupakan nadi kepada kegiatan ekonomi, penghubung antara komuniti serta pemangkin yang membuka lebih banyak peluang kepada rakyat,” katanya.

Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap di majlis pecah tanah projek menaik taraf jalan tersebut, baru-baru ini.

Katanya, jaringan perhubungan yang lebih baik membolehkan pergerakan rakyat menjadi lebih lancar, aktiviti ekonomi diperkasa dan pembangunan dinikmati secara lebih menyeluruh.

“Sebagai wakil rakyat Sarikei, saya sentiasa komited untuk memperjuangkan pembangunan jalan raya dan infrastruktur yang lebih baik di kawasan ini.

“Bagi saya, setiap kilometer jalan yang dibina membawa harapan dan manfaat kepada rakyat. 

“Ia membolehkan murid bergerak ke sekolah dengan lebih selamat, peniaga mengangkut hasil dengan lebih lancar dan keluarga berhubung serta bertemu dengan lebih mudah,” katanya.

Huang berkata, infrastruktur yang baik pada masa sama mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan serta membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat.

“Inilah pembangunan yang kita harapkan, pembangunan yang bukan sahaja menghubungkan tempat, tetapi turut menghubungkan rakyat dengan lebih banyak peluang dan masa depan yang lebih baik,” katanya.

Mengulas projek Jalan Nyelong ByPass, katanya, jumlah kenderaan menggunakan Jalan Repok semakin meningkat sejak kebelakangan ini, manakala laluan tersebut kini menjadi antara jalan alternatif yang penting untuk keluar masuk ke bandar Sarikei.

“Jalan Nyelong ByPass turut berfungsi sebagai laluan pintasan ke arah Tanjung Manis.

“Justeru, projek menaik taraf Jalan Nyelong ByPass kepada jalan raya empat lorong dua hala amat penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya serta melancarkan pergerakan dan memendekkan tempoh perjalanan,” katanya.

Tambahnya, projek bernilai RM86 juta tersebut melibatkan kerja menaik taraf Jalan Nyelong ByPass sepanjang 3.6 kilometer, daripada jalan raya dua lorong satu laluan berstandard JKR R3 kepada jalan raya empat lorong dua laluan berstandard JKR U5.

Ia dilaksanakan di bawah Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan (MIPD) Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.

Sementara itu, katanya, pembinaan Nyelong Bypass/Kwong Ming Minah pula akan memperkukuh rangkaian jalan raya di Sarikei dan meningkatkan hubungan antara kawasan penting.

“Pembinaan Nyelong Bypass/Kwong Ming Minah pula akan memperkukuh rangkaian jalan raya di Sarikei dan meningkatkan hubungan antara kawasan-kawasan penting. 

“Justeru, projek ini bertujuan menangani masalah kesesakan lalu lintas yang serius di sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei, khususnya pada waktu puncak semasa pelajar datang dan pulang dari sekolah,” katanya.

Katanya, projek tersebut melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang kira-kira dua kilometer dengan rizab jalan selebar 25 meter dan kos sebanyak RM12 juta dan dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

“Terima kasih Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dan komitmen dalam memastikan pembangunan infrastruktur di seluruh Sarawak terus diperkasa.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada MIPD, JKR, Jabatan Tanah dan Survei, RADDA dan semua pihak yang terlibat dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek ini,” katanya.

Beliau turut berharap pihak kontraktor memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual, selain memberi perhatian kepada mutu kerja dan keselamatan sepanjang tempoh pembinaan.

“Kepada pihak kontraktor, saya berharap agar projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan, dengan memastikan kualiti pembinaan sentiasa berada pada tahap terbaik serta aspek keselamatan diberi keutamaan sepanjang tempoh pembinaan,” katanya.

Pada masa sama, Huang memohon kesabaran dan kerjasama penduduk setempat serta pengguna jalan raya sepanjang kerja pembinaan dilaksanakan.

“Kepada penduduk setempat dan para pengguna jalan raya, saya memohon kesabaran serta kerjasama semua sepanjang tempoh pembinaan ini.

“Walaupun mungkin terdapat beberapa cabaran dan kesulitan pada peringkat awal, saya yakin bahawa manfaat yang bakal dinikmati kelak adalah jauh lebih besar demi kesejahteraan dan kemajuan kita bersama,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek