SIBU, 4 Oktober: Program Seribu Rona Satu Jiwa menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum menerusi penghargaan terhadap bahasa kebangsaan dan bahasa etnik serta warisan budaya tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, program seumpama itu bukan sekadar hiburan, sebaliknya berperanan mendidik masyarakat, khususnya generasi muda, supaya mencintai bahasa dan menghormati kepelbagaian budaya.
Katanya, bahasa kebangsaan merupakan tunjang perpaduan rakyat Malaysia, manakala bahasa etnik mencerminkan kepelbagaian dan kekayaan identiti masyarakat.
“Melalui bahasa, kita berkomunikasi, melalui puisi, kita menyampaikan jiwa dan melalui budaya pula, kita menyatukan hati,” katanya ketika merasmikan Program Seribu Rona Satu Jiwa di Dewan Sri Rajang, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang di sini, malam tadi.
Dr Safiee yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, persembahan puisi dalam bahasa kebangsaan dan bahasa etnik pada program itu melambangkan kecintaan terhadap bahasa, sastera dan warisan masyarakat.
Beliau menyambut baik peluang yang diberikan kepada peserta untuk mempersembahkan puisi dalam bahasa Iban, selain bahasa kebangsaan, sekali gus mengetengahkan keunikan budaya etnik di Sarawak.
Katanya, usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dan memelihara bahasa etnik perlu terus dipergiat dalam dunia yang semakin moden agar generasi muda tidak kehilangan akar identiti sendiri.
“Program seperti ini dapat membina semangat perpaduan melalui seni bahasa dan budaya, di samping mendedahkan masyarakat kepada keunikan budaya etnik tempatan serta menanam rasa bangga dan cinta terhadap warisan bangsa,” ujar beliau.
Dr Safiee turut merakamkan tahniah kepada DBP Cawangan Sarawak selaku penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai usaha berterusan untuk memartabatkan bahasa dan memelihara warisan budaya yang menjadi khazanah berharga negara.
Program berkenaan julung kali diadakan dengan kerjasama IPG Kampus Rajang dan turut disertai bakal pendidik.
Pada sebelah pagi, program itu diisi dengan Bengkel Penulisan Puisi, manakala sesi malam memberi peluang kepada peserta mempersembahkan bakat menerusi deklamasi puisi.
Oleh Akun Giman




