KUCHING: Sekurang-kurangnya 85 calon dijangka mengemukakan borang pencalonan, di 31 pusat penamaan calon di seluruh negeri pagi ini.
Jumlah itu berdasarkan perkiraan calon yang telah diumumkan baru-baru ini oleh setiap parti yang bertanding untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.
Bagaimanapun, jumlah itu mungkin bertambah dengan kemunculan calon Bebas.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dianggotai empat parti, bertanding di semua 31 kerusi Parlimen.
Parti pembangkang yang turut bertanding ialah DAP, Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PAS.
GPS adalah gabungan empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bimiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Sama seperti PRU-14 2018, PBB bertanding 14 kerusi, SUPP (7), PRS (6) dan PDP (4) pada pilihan raya umum kali ini, pertama kali menggunakan lambang GPS setelah ia keluar Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum lalu.
Pada PRU-14, PBB bertanding di 14 kerusi Parlimen (menang 13 kerusi),
SUPP (7) tapi cuma menang satu, PRS (6) menang tiga dan PDP (4) menang dua. Kesemuanya 19 kerusi.
Baki 12 lagi kerusi Parlimen ketika itu, dimenangi pembangkang iaitu DAP (6), PKR (4) dan Bebas (2).