KUCHING: Inisiatif projek Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa satu di Kampung Sungai Aur, di sini sudah siap 100 peratus dan mula beroperasi sepenuhnya sejak September lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya berpuas hati dengan prestasi kerja pihak U Mobile selaku kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek tersebut.
”Daripada 636 menara jendela yang telah diamanahkan kepada syarikat U Mobile untuk disiapkan, mereka menerima 81 menara untuk disiapkan dan mereka kini telah berjaya menyiapkan 78 menara.
”Jadi, kalau nak dibandingkan dengan beberapa syarikat telekomunikasi (telco) yang lain, prestasinya amat baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pengoperasian menara telekomunikasi jendela fasa satu di Kampung Sungai Aur, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk berhubung rapat dengan syarikat telco yang lain sekiranya pembinaan menara telah siap sepenuhnya bagi menyediakan rangkaian perhubungan secepatnya untuk rakyat.
”Setakat ini, 325 daripada 600 menara SMART telah siap dan beroperasi dalam tempoh lebih kurang setahun setelah dimuktamadkan perjanjian komersial di antara syarikat-syarikat telekomunikasi.
“Jadi, saya berharap dengan dana sebanyak RM42 juta yang disediakan oleh pihak MCMC bagi pengoperasian menara-menara ini, lebih banyak menara akan disiapkan dan rakyat akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini nanti,” tambahnya.
Beliau pada masa sama menzahirkan keyakinan terhadap pengoperasian sepenuhnya menara telekomunikasi Jendela fasa satu di Kampung Sungai Aur itu akan memberi manfaat kepada seramai 250 penduduk di sekitar kawasan dengan akses kepada liputan Internet berkelajuan tinggi melebihi 200 Megabit Sesaat (Mbps) mengikut ujian kelajuan yang telah dilaksanakan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang turut hadir semasa lawatan kerja itu berkata para peniaga di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai seharusnya memanfaatkan inisiatif tersebut sepenuhnya untuk mengembangkan perniagaan.
”Dengan ada liputan internet ini, mereka boleh memasarkan hasil-hasil tempatan kepada masyarakat luar, terutama keunikan di kampung-kampung yang ada di sini,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA