PETRA JAYA, 4 Oktober: Seramai 929 usahawan mikro kebajikan atau 43 peratus daripada keseluruhan penerima geran di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) berjaya meningkatkan pendapatan sehingga melepasi garis kemiskinan sejak program berkenaan dilaksanakan pada 2021.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pencapaian itu membuktikan pendekatan Kebajikan Produktif yang dilaksanakan kerajaan mampu membantu penerima bantuan bulanan beralih daripada kebergantungan kepada bantuan kepada kehidupan yang lebih berdikari.
Katanya, dari 2021 hingga September 2026, JKMS telah menyalurkan geran kepada 2,192 usahawan dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM10.69 juta.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 929 usahawan atau 43 peratus usahawan Welbest berjaya dan dari segi pendapatan memang melebihi paras garis kemiskinan.
“Ini adalah satu kejayaan dan ini pastinya kerajaan memang mahu melihat kejayaan seperti ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026 di Pusat Acara MetroCity, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, program itu memberi tumpuan kepada penerima bantuan bulanan JKMS yang mempunyai potensi serta kemampuan untuk menjana pendapatan melalui kegiatan keusahawanan.
Menurutnya, matlamat utama pendekatan berkenaan adalah untuk membantu golongan terbabit meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga sehingga mampu keluar daripada kepompong kemiskinan dan berdikari.
“Melalui penglibatan dalam program keusahawanan ini, mereka akan mampu menjana serta meningkatkan taraf sosioekonomi bagi meneruskan kelangsungan hidup tanpa terus bergantung kepada bantuan bulanan dan bantuan kewangan JKMS,” katanya.
Beliau berkata, antara bentuk sokongan yang disediakan ialah Geran Pelancaran bernilai RM5,000, namun bantuan berkenaan diberikan dalam bentuk peralatan dan bukannya wang tunai.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan bantuan yang diberikan benar-benar digunakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mengembangkan perniagaan penerima.
“Kita mahu pastikan dari segi peralatan yang diberikan melalui geran itu adalah peralatan yang benar-benar mereka perlukan. Kita elak ketidakpadanan dan pembaziran,” katanya.
Fatimah berkata, peralatan yang sesuai membolehkan usahawan meningkatkan jumlah pengeluaran dalam kuantiti lebih besar dan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan mereka.
Menurutnya, apabila pendapatan penerima berjaya melepasi garis kemiskinan untuk tempoh yang ditetapkan, mereka tidak lagi perlu bergantung kepada bantuan bulanan JKMS.
“Ini konsep Kebajikan Produktif supaya mereka tidak akan terus-terusan bergantung kepada bantuan bulanan yang diberikan kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Fatimah berkata, kejayaan 929 usahawan tersebut tidak bermakna mereka dibiarkan bergerak sendiri selepas menerima geran, sebaliknya JKMS meneruskan proses bimbingan, latihan, pemantauan dan naziran.
Katanya, sehingga kini terdapat 546 usahawan yang masih berada dalam bimbingan JKMS bagi memastikan mereka mampu mengurus serta mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Tidak beri geran begitu saja, tetapi ada latihan dan proses pemantauan, bimbingan, latihan serta naziran.
“Kita buat naziran juga untuk memastikan usahawan-usahawan kita akhirnya, walau apa cabaran, akhirnya boleh berjaya,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana kejayaan sesebuah program keusahawanan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah geran yang disalurkan, tetapi melalui perubahan kehidupan penerima, termasuk peningkatan pendapatan dan keupayaan mereka berdikari.
Sementara itu, usahawan mikro kebajikan di bawah JKMS turut mencatatkan jumlah jualan terkumpul sebanyak RM7.9 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 berdasarkan laporan jualan bulanan serta jualan promosi.
Fatimah berkata, pencapaian berkenaan menunjukkan usahawan bimbingan JKMS semakin mampu menjadikan kegiatan perniagaan sebagai sumber pendapatan yang berterusan.
Pada 2026, JKMS menyasarkan untuk melahirkan 350 usahawan baharu di seluruh Sarawak dan sehingga September lalu, seramai 252 usahawan atau 72 peratus telah diluluskan menerima geran masing-masing.
Fatimah berkata, kerajaan akan terus memperkukuh program pembangunan ekonomi berkenaan supaya lebih ramai penerima bantuan dapat meningkatkan pendapatan, memperbaiki taraf sosioekonomi keluarga dan akhirnya keluar daripada kepompong kemiskinan.



