Projek Jalan Ulu Tubai-Mentawai diteruskan dalam RMK13

Facebook
WhatsApp
TINJAU TAPAK...Ir. Aidel Lariwoo ketika meninjau kawasan tapak projek Jalan Ulu Tubai-Mentawai yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

LIMBANG: Projek pembinaan Jalan Ulu Tubai-Mentawai yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan destinasi pelancongan bertaraf dunia, Gunung Buda di Limbang, tidak dibatalkan, sebaliknya akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, berkata projek itu terpaksa dihentikan sementara bagi memberi laluan dan keutamaan kepada pembinaan projek Jalan Penghubung Sarawak-Sabah (SSLR) Fasa Dua di kawasan berkenaan.

“Projek ini tidak dibatalkan dan dimasukkan dalam perancangan RMK13. Sebelum ini, ketika fasa pelaksanaan Jalan Ulu Tubai-Mentawai ke Gunung Buda, pihak pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turut berdepan beberapa kekangan, termasuk bantahan berkaitan kawasan Taman Negara Gunung Buda dan kawasan tadahan air.

“Perkara itu perlu dikaji dengan lebih lanjut, khususnya berkaitan status Taman Negara Gunung Buda dan kawasan tadahan air yang menjadi antara kekangan dalam pelaksanaan projek ini,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke Jambatan Sungai Limbang, hari ini.

Katanya, pelaksanaan projek itu akan dibuat secara tender kepada kontraktor yang terpilih kelak.

Jelasnya, kos pelaksanaan projek Jalan Ulu Tubai-Mentawai juga dijangka meningkat susulan kenaikan harga bahan binaan, kos logistik, diesel dan faktor berkaitan yang lain.

Sebelum ini, projek pembinaan Jalan Ulu Tubai-Mentawai di Limbang dianggarkan menelan kos RM130 juta bagi menghubungkan kawasan Bawang Ubor/Ulu Tubai ke Mentawai dan seterusnya ke Gunung Buda.

Bagaimanapun, projek berkenaan masih belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

Oleh Adeng Edrus