LIMBANG: Projek pembinaan Jalan Perhubungan Sabah Sarawak (SSLR) akan diteruskan dalam tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Katanya, ia antara keutamaan dan agenda utama pembangunan di Utara Sarawak dalam usaha meningkatkan jalinan perhubungan dan pembangunan lain.
“Projek pembangunan itu diteruskan untuk dilaksanakan pada tahun ini bagi memastikan Limbang dan Lawas terus terjalin dengan kawasan lain di Sarawak dalam usaha menyokong pembangunan yang berterusan.
“Oleh itu, projek yang diberi tumpuan termasuk pembinaan kemudahan jaringan jalan raya, meneruskan projek pembinaan lebuhraya pesisir utara, kemudahan sistem telekomunikasi selain SSR,
“Infrastruktur seperti jalan raya, jambatan ini penting seperti Lebuhraya Pesisir Utara. Insya-Allah kita akan mulakan pada tahun ini. Kita sudah mendapat persetujuan kerajaan Brunei, SSLR juga akan dilaksanakan, fasa pertama sudah dalam pembinaan dan ini akan kita teruskan.
“Begitu juga jalan yang menghubungkan terus ke sempadan di antara Sarawak dengan Indonesia juga dalam perancangan kita,” katanya kepada media ketika ditemui selepas melakukan kunjungan Tahun Baharu Cina ke beberapa kediaman pemimpin kaum Cina di Limbang pada petang semalam.
Pembinaan projek SSLR akan mewujudkan satu rangkaian jalan raya berturap yang menghubungkan kedua-dua negeri di Borneo ini tanpa lagi melalui Brunei.
Pada 7 Ogos 2022, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan laluan Seksyen Pujut WPC11 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Miri, berkata Kerajaan Persekutuaan telah meluluskan Projek Fasa 2 SSLR serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB).
Penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas itu sudah di peringkat akhir. Kedua-dua projek mega ini bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua pilihan jaringan jalan raya.
Awang Tengah berkata, kerajaan turut membangunkan kemudahan asas melibatkan jalan-jalan kampung di kawasan luar bandar.
“Dari segi kemudahan asas seperti bekalan elektrik, yang utama ialah kita dalam perlaksanaan sekarang iaitu untuk menyambung Limbang dan Lawas kepada State Grid, dan mudah-mudahan ini akan dapat disiapkan tahun depan.
“Dengan terlaksananya projek ini maka ia akan memudahkan kita untuk memperluaskan lagi bekalan elektrik ke kawasan luar bandar. Bekalan air juga kita akan beri tumpuan, kita akan beri tumpuan supaya kita dapat memperluaskan lagi liputan bekalan air,” katanya.
Turut sama pada program itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Residen Limbang Yunus Tambi.
Awang Tengah dan rombongan mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina ke kediaman Pemanca Leong Boong Ming, Penghulu Chua Beng Soon dan Pengerusi Persatuan Hokkien Limbang David Chua Kien Teen.
Oleh ADENG EDRUS