BINTANGOR: Pendedahan secara langsung kepada kehidupan masyarakat rumah panjang mampu membantu generasi muda memahami dan menghargai kepelbagaian budaya Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, rumah panjang bukan sekadar sebuah tempat kediaman, malah merupakan sebahagian daripada warisan dan identiti masyarakat Sarawak yang mencerminkan semangat kekeluargaan, kerjasama dan saling menghormati.
“Rumah panjang bukan sekadar tempat tinggal, malah merupakan sebahagian daripada warisan dan identiti masyarakat Sarawak yang mencerminkan semangat kekeluargaan, kerjasama, saling menghormati dan kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Project Heritage Glow: Discovering Longhouse Culture anjuran Junior Chamber International (JCI) Sarikei, semalam.

Katanya, program tersebut memberi peluang kepada peserta, khususnya golongan belia, untuk mengenali kehidupan, adat resam dan budaya masyarakat rumah panjang melalui pengalaman secara langsung.
“Program ini bukan sahaja memberi pengetahuan, tetapi turut membuka ruang kepada golongan belia untuk mengenali dan menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Sarawak.
“Interaksi bersama komuniti rumah panjang membolehkan peserta memperoleh pengalaman yang berbeza berbanding sekadar mempelajari sesuatu budaya melalui pembacaan atau penerangan,” katanya.
Pengalaman tersebut katanya, dapat memberikan pemahaman lebih dekat mengenai amalan, tradisi dan kehidupan bermasyarakat yang menjadi sebahagian daripada identiti Sarawak.
“Sarawak mempunyai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan adat, justeru kepelbagaian tersebut perlu terus dihargai, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya lagi.
Beliau berharap peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang menyertai program tersebut dengan membawa pulang pengalaman serta pengetahuan baharu mengenai kehidupan masyarakat rumah panjang.
Pada masa yang sama, Ding berharap lebih banyak program berteraskan warisan dan kebudayaan dapat dianjurkan pada masa hadapan dengan penyertaan lebih ramai belia serta komuniti setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada JCI Sarikei serta semua pihak yang menjayakan program tersebut, selain berharap inisiatif sedemikian terus menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat dan memelihara warisan Sarawak.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii akan menyalurkan geran khas berjumlah RM3,000 kepada JCI Sarikei sempena penganjuran program tersebut.
Turut hadir wakil Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Andrew Wong Pak Ung; Pengerusi Penganjur, Sue Ching; Presiden JCI Sarikei, Wong Siew Wu; Pengerusi JCI Malaysia Area Sarawak, Siew Young Ming; Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering; Kapitan Ling Dien Yong dan Tuai Rumah Kichu Ajan.
Oleh Earl Anek





