KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur pada Isnin berikutan pelabur mengambil kira prestasi pasaran serantau yang kukuh berbanding kebimbangan berterusan terhadap pendirian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang cenderung menaikkan kadar faedah dan hasil Perbendaharaan AS yang tinggi.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dicatatkan pada paras rendah.
Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk pasaran menurun 3.27 mata atau 0.19 peratus kepada 1,662.29 daripada 1,665.56 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka rendah 1.36 mata kepada 1,664.20.
Pasaran secara menyeluruh, bagaimanapun, positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 223 berbanding 185 manakala 324 kaunter tidak berubah, 2,150 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 250.83 juta saham bernilai RM129.99 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Fed AS mempunyai ruang yang terhad dari segi pilihan dasar berikutan harga minyak mentah yang tinggi manakala usaha bank pusat itu untuk meredakan kebimbangan mengenai kaitannya dengan Presiden AS Donald Trump boleh memberikan impak positif dalam tempoh jangka panjang.
Sementara itu, katanya hasil bon Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun kekal pada paras tertinggi sejak 2007, iaitu pada 5.0 peratus.
Dalam negara, Thong berkata indeks petunjuk pasaran terus merosot dan ditutup rendah 40 mata pada minggu itu berikutan aktiviti penjualan oleh pelabur asing yang meningkat sejajar dengan pasaran serantau yang lemah.
“Bagaimanapun, kami menjangka indeks akan kekal dalam fasa pembetulan dalam julat 1,660 hingga 1,680 hari ini.
“Sementara itu, harga minyak mentah menurun dengan Brent menyusut kepada AS$103 setong berikutan Arab Saudi berjaya menangani gangguan bekalan tersebut,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM10.36, Public Bank mendatar pada RM4.77, CIMB menurun tiga sen kepada RM7.60, Tenaga Nasional merosot 12 sen kepada RM12.92 dan IHH Healthcare menyusut satu sen kepada RM7.63.
Bagi saham aktif, Zetrix AI merosot satu sen kepada 19 sen, AirAsia dan Butterfield, masing-masing naik dua sen kepada 55 sen dan 48 sen, FSBM menambah satu sen kepada 7.5 sen dan Capital A meningkat 1.5 sen kepada 25 sen.
Kaunter paling untung ialah Fraser & Neave naik 34 sen kepada RM23, Solarvest meningkat 24 sen kepada RM3.57, Samaiden menambah 23 sen kepada RM2.18, Hong Leong Bank menokok 20 sen kepada RM22.74 dan Pekat naik 12 sen kepada RM2.23.
Kaunter paling rugi termasuklah Malaysian Pacific Industries menurun 80 sen kepada RM42, Nestle merosot 78 sen kepada RM88.80, Sunway Construction berkurangan 48 sen kepada RM7.40, Time Dotcom menyusut 47 sen kepada RM5.94 dan QL Resources menurun 27 sen kepada RM3.92.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 40.88 mata kepada 12,370.84 dan Indeks FBM Top 100 merosot 44.71 mata kepada 12,165.66.
Indeks FBM Mid 70 menurun 152.20 mata kepada 17,691.81, Indeks FBM Emas Shariah merosot 66.76 mata kepada 12,245.23 manakala Indeks FBM ACE meningkat 32.54 mata kepada 5,277.14.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.01 mata kepada 184.23 manakala Indeks Tenaga naik 1.21 mata kepada 821.83.
Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 8.22 mata kepada 19,420.86 manakala Indeks Perladangan menurun 4.25 mata kepada 9,492.19.- Bernama





