BAKUN: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi sedang giat melaksanakan projek bekalan air berimpak tinggi di sepanjang jalan Labang-Tubau di sini yang bernilai sekitar RM130.6 juta.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek itu bertujuan untuk menambah baik sistem bekalan air di kawasan tersebut yang semakin meningkat permintaannya.
Katanya, ia melibatkan cadangan projek bekalan air berimpak tinggi sepanjang jalan Bakun, dari Labang hingga ke kawasan Tubau yang membabitkan dua pakej.
Pakej satu meliputi pemasangan paip sepanjang 98 kilometer (km) manakala pakej dua pula merangkumi pembinaan Loji Rawatan Air berkapasiti 10 juta liter sehari serta beberapa infrastruktur sokongan lain.
“Apabila projek ini siap sepenuhnya nanti pada suku kedua 2026, ia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan juga meningkatkan liputan air bersih ke 62 rumah serta kampung di kawasan Labang hingga ke Tubau.
“Ini sekali gus memberi jaminan peningkatan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada 3,310 penduduk di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan selepas lawatan rasminya ke tapak projek Sistem Grid Bekalan Air Sarawak di Tubau di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Julaihi juga memaklumkan bahawa kerajaan komited untuk memastikan projek tersebut siap sepenuhnya dalam tempoh masa ditetapkan bagi menjamin kualiti bekalan air lebih baik dan berterusan.
“Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Bintulu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak akan memastikan projek-projek yang kini pada peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
“Projek-projek tersebut merupakan sebahagian Sistem Grid Bekalan Air Sarawak untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh,” katanya.