KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat September ini masih belum menerima sebarang bantahan atau representasi lengkap secara manual berhubung cadangan kajian semula persempadanan di Sarawak.
Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak, Abang Noraffian Abang Ibrahim berkata, bagaimanapun terdapat satu draf representasi yang dikemukakan menerusi portal MySPR melibatkan Bahagian Sibu.
Menurutnya, draf berkenaan masih belum lengkap dan SPR kini menunggu pihak yang mengemukakannya melengkapkan representasi tersebut.
“Bagi bantahan atau representasi secara manual, kita masih belum menerima apa-apa lagi.
“Namun, melalui portal MySPR, kita telah menerima satu draf tetapi bantahan atau representasi itu masih belum lengkap,” katanya ketika ditemui di sini, malam ini.
Beliau berkata, draf representasi berkenaan adalah dari Bahagian Sibu dan masih berada pada peringkat draf dalam portal MySPR.
Justeru katanya, belum dapat dipastikan sama ada representasi tersebut dikemukakan oleh seorang individu atau mewakili pihak lain.
“Kita masih menunggu pihak yang mengemukakan bantahan itu untuk melengkapkan representasi berkenaan,” katanya.
Oleh Norman B




