PAKAN: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) menganjurkan Program Wanita Berkarisma dengan acaranya pertamanya diadakan di sini.
Naib Presiden Saberkas, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata program itu juga bertujuan untuk menambah ahli wanita Saberkas.
“Program ini merupakan anjuran Biro Wanita SABERKAS Negeri Sarawak dan kita memang turun padang untuk berjumpa dengan ahli wanita Saberkas seluruh Sarawak dan sambil itu juga kalau boleh menambah ahli-ahli wanita Saberkas.
“Alhamdulillah, makin ramai penyertaan wanita dalam Saberkas…dimana-mana pun kita menganjurkan program, memang ramai wanita.
“Ini adalah salah satu daripada objektif kita iaitu menambahkan ahli wanita dan juga untuk menggalakkan wanita terutamanya di luar bandar turut sama menyertai Saberkas agar mereka didedahkan dengan pelbagai program dan aktiviti yang bertujuan meningkatkan sahsiah dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan program tersebut, petang semalam.
Sharifah Hasidah berkata Program Wanita Berkarisma merupakan salah satu program anjuran Biro Wanita SABERKAS Negeri Sarawak dengan kerjasama SABERKAS Cawangan Pakan.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Wanita Saberkas Negeri Sarawak, berkata Daerah Pakan merupakan antara lokasi pertama tempat penganjuran program pada kali ini.
Katanya, seramai 125 peserta dari enam cawangan Saberkas di sini iaitu Cawangan Pakan, Ngemah, Meluan, Meradong dan Kuala Rajang turut hadir pada program itu semalam.
“Dimaklumkan juga bahawa ada beberapa pameran yang diadakan ermasuk dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Sarikei dan usahawan-usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata program ini merupakan julung kalinya diadakan di Pakan dan akan diadakan di seluruh kawasan terutamanya di pedalaman.
“Fokus kita adalah luar bandar…sebelum ini juga kita ada program jangkauan untuk wanita dan kita telah berjaya menjangkau wanita seluruh Sarawak…ini akan kita teruskan,” katanya.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan sijil penyertaan kepada peserta dan sumbangan Saberkas Prihatin kepada penerima.
Oleh Earl Anek