PRN13: Risiko gangguan pengundian akibat hujan, banjir dan jerebu sukar diramal – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak bercakap ketika ditemui pemberita selepas merasmikan SUF 2.0 HEEC, Kuching. Foto Masrin Affirah

KUCHING, 26 Oktober: Kemungkinan keadaan cuaca seperti hujan, banjir dan jerebu menjejaskan perjalanan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13) sukar diramal lebih awal.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan PRN13 berlangsung pada musim hujan hujung tahun ini.

“Mana saya tahu, kalau tidak hujan?” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Bandar Sarawak 2.0 (SUF 2.0) di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), di sini, hari ini.

Ditanya sama ada jerebu juga berkemungkinan berlaku ketika pilihan raya, beliau berkata keadaan itu tidak dapat diramalkan.

“Kita tidak boleh meramalkannya,” katanya.

Sebagai rekod, keadaan cuaca buruk pernah menjejaskan perjalanan pilihan raya di Sarawak apabila pengumuman keputusan bagi kerusi DUN Mulu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), 18 Disember 2021, terpaksa ditangguhkan selepas helikopter yang membawa peti undi tidak dapat diterbangkan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menggantung proses pengundian di 11 pusat mengundi di Parlimen Baram pada 19 November 2022 selepas cuaca buruk menghalang petugas pilihan raya tiba di lokasi melalui laluan udara, darat dan sungai.

Oleh Masrin Affirah