KOTA SAMARAHAN, 23 November: Golongan muda yang layak mengundi digesa menunaikan tanggungjawab pada 12 Disember ini bagi memastikan suara generasi baharu turut diambil kira dalam menentukan kepimpinan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelaksanaan Undi18 telah meningkatkan jumlah pengundi muda, sekali gus menjadikan golongan itu antara kelompok penting dalam proses demokrasi negeri.
Menurutnya, golongan muda membentuk kira-kira 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan pengundi di setiap kawasan susulan pelaksanaan Undi18 yang menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.
“Pilihan raya bukannya masa untuk kita suka-suka. Pilihan raya adalah satu amanah. Sebelum kita memilih, penting bagi setiap pengundi menilai siapa yang kita pilih, kerajaan mana yang kita mahu dan siapa pemimpin kita untuk lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Edisi ke-11 di Halaman Samarahan yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abdul Karim berkata, antara perkara yang dibimbangkan ialah ramai anak muda Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia dan Sabah mungkin berdepan kesukaran untuk pulang mengundi.
“Ramai anak muda kita sekarang menuntut di Semenanjung Malaysia, Sabah dan sebagainya. Mereka mungkin tidak dapat mengundi. Jadi, harapan saya kepada mereka yang berada di Samarahan dan kawasan lain supaya turun mengundi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan membimbing anak-anak memahami kepentingan memilih pemimpin serta menggalakkan golongan muda menggunakan hak mengundi dengan penuh tanggungjawab.
Menurutnya, setiap undi membawa tanggungjawab besar kerana keputusan pilihan raya akan menentukan pihak yang diberi mandat untuk mentadbir negeri serta mewakili rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.
Oleh Shikin Mahmud




