Hampir 42,000 pemilih baharu didaftarkan pada Oktober, semakan dibuka hingga 21 Januari – SPR

Facebook
WhatsApp
SETIAUSAHA SPR Datuk Khairul Shahril Idrus. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 23 November: Seramai 41,958 warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu sepanjang Oktober lepas, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pendaftaran itu terkandung dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Oktober 2026 (DPT BLN10/2026) yang diwartakan hari ini dan dibuka untuk semakan selama 60 hari sehingga 21 Januari 2027.

Selain pemilih baharu, beliau berkata daftar berkenaan turut merekodkan 17,076 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya serta 4,109 pemilih yang menukar kategori atau status pengundian.

“SPR menyeru warganegara yang mencapai umur 18 tahun dalam tempoh 1 Oktober hingga 31 Oktober 2026 serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau kategori atau status pengundian supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN10/2026,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata individu yang mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam daftar berkenaan boleh mengemukakan tuntutan dengan mengisi Borang C menerusi aplikasi dalam talian MySPR atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkaitan.

Beliau berkata pemilih berdaftar yang ingin membantah kemasukan nama pemilih yang bertukar ke bahagian pilihan raya mereka pula boleh mengemukakan bantahan menggunakan Borang D.

Khairul Shahril berkata SPR menyediakan empat kaedah semakan, iaitu menerusi portal rasmi SPR di www.spr.gov.my atau mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi dalam talian myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak serta talian hotline 03-8892 7218.

Beliau berkata borang tuntutan dan bantahan juga boleh dimuat turun menerusi portal SPR sebelum dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri yang berkaitan untuk tujuan serahan dan pembayaran fi bantahan pada waktu pejabat, pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN10/2026.

Sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN10/2026 boleh dikemukakan dengan melayari portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my atau menghubungi SPR menerusi talian 03-8892 7218 atau Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan. – Bernama