BINTULU, 23 November: Perkembangan pesat sektor perindustrian di Samalaju membawa perubahan besar kepada kawasan itu, bukan sahaja dari segi pertumbuhan ekonomi, malah turut mengubah landskap demografi susulan kemasukan penduduk dari luar kawasan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi berkata, pertambahan peluang pekerjaan hasil perkembangan sektor industri menjadi antara faktor utama yang mendorong penghijrahan penduduk ke kawasan berkenaan.
Menurutnya, perubahan itu dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah pengundi daripada lebih 13,000 orang pada 2016 kepada lebih 17,000 orang pada 2021, sebelum mencecah kira-kira 34,000 orang tahun ini.
“Pada 2016, berdasarkan jumlah pengundi, hanya lebih 13,000 orang, manakala tahun ini jumlahnya sudah mencecah 34,000.
“Antara faktor utama ialah pertambahan penduduk yang berhijrah ke kawasan ini disebabkan pembangunan dan peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) N.70 Samalaju di Rumah Sating Bundan, KM67, Labang Atas, Jalan Bintulu-Miri di sini, hari ini.

Menurut Majang, perkembangan Pelabuhan Bintulu selepas diambil alih oleh kerajaan Sarawak, selain kelulusan pembangunan zon pelabuhan bebas, turut membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih luas.
Katanya, kerajaan negeri turut merancang untuk menyatukan semua pelabuhan di Sarawak di bawah satu entiti bagi memperkukuh pembangunan sektor pelabuhan dan perindustrian.
Dalam aspek kemudahan asas, beliau berkata, usaha menaik taraf jalan tanah kepada jalan berbatu dan seterusnya jalan berturap, selain membaik pulih laluan yang rosak, perlu diteruskan bagi memenuhi keperluan kawasan yang semakin berkembang.
Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan masyarakat serta sokongan penduduk, termasuk ketua kaum, bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan itu.
Majang juga mengingatkan penduduk supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam menentukan calon dan kerajaan yang diyakini mampu membawa kemajuan kepada kawasan berkenaan.
Oleh Carolyne Utih




