PRN Sarawak: Idris Buang tidak pertahankan kerusi Muara Tuang

Facebook
WhatsApp
DATUK Idris Buang. Foto Agensi

KUCHING, 23 November: Datuk Idris Buang mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Muara Tuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 selepas hampir 10 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Beliau yang juga Timbalan Speaker DUN Sarawak berkata keputusan itu dibuat dengan penuh rasa syukur dan keinsafan, selain menyerahkan kepada kebijaksanaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menentukan calon terbaik bagi meneruskan amanah berkenaan.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, Idris berkata beliau menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan kepimpinan parti dan berikrar memberikan sokongan penuh kepada calon yang dipilih, termasuk turun padang membantu kempen.

Menurutnya, sepanjang tempoh perkhidmatannya, kawasan Muara Tuang menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan di bawah kepimpinan Abang Johari.

Beliau menyifatkan peluang berkhidmat dalam pasukan kepimpinan Premier Sarawak itu sebagai satu penghormatan, khususnya dalam menyumbang kepada agenda pembangunan negeri.

INFOGRAFIK… Sorotan perjalanan politik dan khidmat Datuk Idris Buang sepanjang 41 tahun dalam perjuangan, termasuk hampir sedekad berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang dari 2016 hingga 2026. Foto AI

Bagaimanapun, Idris mengakui masih banyak perkara perlu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan berharap pembangunan di kawasan itu dapat diteruskan oleh wakil rakyat seterusnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Muara Tuang atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Penghargaan turut ditujukan kepada ahli dan kepimpinan parti, ketua masyarakat dan kaum, pemimpin akar umbi serta masyarakat berbilang kaum dan agama yang bersama-sama menjayakan usaha pembangunan kawasan berkenaan.

Idris turut memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.

Pada masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat dan pengundi Muara Tuang supaya memberikan sokongan kepada calon yang dipilih serta kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi memastikan kesinambungan pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan negeri.