Mohamad Firdaus harumkan nama DBKU, ungguli kategori Fizikal Lelaki Bakat Baharu

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Firdaus Mohamad Sazali bergambar bersama isterinya selepas dinobatkan sebagai juara kategori Fizikal Lelaki Bakat Baharu (bawah 170 sentimeter) pada Kejohanan Mr. Enrich On The Go Sarawak 2026, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

KUCHING, 23 November: Anggota keselamatan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Mohamad Firdaus Mohamad Sazali, mengharumkan nama organisasi itu apabila muncul juara kategori Fizikal Lelaki Bakat Baharu (bawah 170 sentimeter) pada Kejohanan Mr. Enrich On The Go Sarawak 2026 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, pada 21 November lalu.

Kejayaan itu melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM2,000, sekali gus menjadi pencapaian membanggakan buat dirinya dan DBKU.

Ketika ditemui Utusan Sarawak, Mohamad Firdaus menzahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut yang disifatkannya sebagai hasil sokongan dan pengorbanan insan-insan yang sentiasa berada di belakangnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatihnya, Al Badrul Mohd Faizal, atas segala ilmu, tunjuk ajar, teguran dan kesabaran dalam membimbingnya sehingga berjaya meraih gelaran juara.

Penghargaan turut ditujukan kepada isteri tercinta, Kasma Abdullah, keluarga serta rakan-rakan yang tidak pernah putus memberikan sokongan, semangat dan doa sepanjang perjalanannya dalam sukan berkenaan.

“Saya mungkin seorang yang berdiri di atas pentas menerima trofi, tetapi kemenangan ini adalah hasil usaha dan doa kita bersama,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu bukanlah pengakhiran, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk terus memperbaiki diri dan mencapai kejayaan yang lebih baik pada masa hadapan.

Untuk rekod, Kejohanan Mr. Enrich On The Go Sarawak 2026 berlangsung selama dua hari, bermula 20 hingga 21 November di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak.

Kejohanan itu mempertandingkan beberapa kategori, termasuk Kecergasan Lelaki (Pertama Kali Menyertai Enrich), Kecergasan Lelaki (Peserta Baharu), Kecergasan Lelaki (Terbuka), Fizikal Lelaki Bakat Baharu bagi peserta berketinggian bawah dan melebihi 170 sentimeter serta Model Sukan Wanita.

Selain itu, kejohanan berkenaan turut menampilkan acara Juara Antara Juara (Champ of Champ).

Oleh Shahrul Qaizat

KASUS Batu Kitang perkukuh perpaduan masyarakat

KUCHING, 23 November: Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Batu Kitang 2026 menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat apabila menghimpunkan peserta daripada