KUCHING, 27 November: Majoriti kawasan di Sarawak dijangka hujan pada penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, esok.
Menurut Ramalan Cuaca Khas yang dikeluarkan oleh Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca pada sebelah pagi dijangka cerah bagi kawasan Kuching, Serian serta Samarahan.
Bagaimanapun, sembilan bahagian, iaitu Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Kapit, Miri dan Limbang diramalkan mengalami hujan pada waktu pagi sebelum cuaca bertukar kepada ribut petir di seluruh negeri pada sebelah petang.
Hampir keseluruhan bahagian juga dijangka mencatatkan suhu antara 24 hingga 34 darjah Celsius.
Orang ramai termasuk calon yang terlibat dalam proses penamaan disarankan sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, dan mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web rasmi MetMalaysia www.met.gov.my atau aplikasi myCuaca.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13, dengan pengundian awal pada 8 Disember.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 di https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/ .- Bernama




