Wilson Entebang umum bertanding calon Bebas di DUN Simanggang

Facebook
WhatsApp
Wilson Entebang umum bertanding calon Bebas di DUN Simanggang

SIMANGGANG, 27 November: Kecewa tidak terpilih sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang tidak menghalang Wilson Entebang daripada meneruskan perjuangan politik apabila mengumumkan keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rayuan serta sokongan penyokong akar umbi dan masyarakat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar yang masih mengharapkan beliau meneruskan perjuangan membawa suara mereka.

Menurutnya, keputusan untuk tidak menamakan beliau sebagai calon GPS sememangnya mengecewakan memandangkan beliau telah sekian lama berusaha mendekati masyarakat serta membawa perjuangan parti di peringkat akar umbi.

“Selama ini, saya telah turun padang, berjalan dari satu kawasan ke kawasan yang lain, membawa logo GPS, memperkenalkan visi dan misi serta menyampaikan perjuangan GPS kepada masyarakat.

“Saya lakukan semua itu dengan penuh keikhlasan kerana saya benar-benar percaya dengan perjuangan ini dan berharap suatu hari nanti saya diberi peluang untuk berkhidmat serta mewakili suara masyarakat Simanggang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Wilson berkata, beliau pada mulanya mempertimbangkan untuk menerima keputusan tersebut, berundur daripada arena politik dan memberikan lebih banyak perhatian kepada keluarga.

Bagaimanapun, sokongan serta rayuan daripada masyarakat yang memintanya supaya tidak mengalah menjadi faktor utama beliau mengubah keputusan untuk terus bertanding.

“Atas dasar tanggungjawab, kepercayaan masyarakat dan semangat demokrasi, saya membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas di N.32 Simanggang,” katanya.

Beliau menegaskan keputusan itu bukan didorong perasaan dendam atau niat untuk bermusuh dengan mana-mana pihak, sebaliknya mahu memberikan pilihan kepada pengundi melalui persaingan sihat dalam amalan demokrasi.

Malah, beliau turut menjelaskan bahawa keputusan bertanding sebagai calon Bebas tidak bermaksud dirinya menentang GPS atau mengambil pendirian sebagai pembangkang kepada kerajaan Sarawak.

Sebaliknya, beliau tetap menghormati keputusan parti dan berharap hubungan serta kerjasama baik dengan GPS dan kerajaan Sarawak dapat diteruskan demi kepentingan masyarakat Simanggang.

Dalam pada itu, Wilson berharap kepimpinan tertinggi GPS dapat menilai segala usaha, komitmen dan sumbangan yang telah dicurahkan selama ini, khususnya dalam memperkukuh perjuangan parti di peringkat akar umbi.

“Mungkin saya tidak terpilih sebagai calon parti, tetapi saya tidak mahu berpaling daripada mereka yang masih percaya dan mengharapkan saya.

“Bagi saya, perjuangan ini bukan sekadar tentang menjadi calon atau memegang jawatan, tetapi tentang amanah dan kepercayaan masyarakat yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan seperjuangan, penyokong akar umbi, ketua masyarakat dan seluruh warga Simanggang yang terus memberikan sokongan kepadanya.

Wilson menyifatkan keputusan untuk terus bertanding itu sebagai satu tanggungjawab terhadap masyarakat yang masih mahu suara mereka dibawa ke peringkat lebih tinggi.

“Saya mempunyai seribu satu sebab untuk berhenti, tetapi masyarakat telah memberikan saya satu sebab yang cukup kuat untuk terus melangkah,” jelasnya.

Oleh Adi Safarman