PRN Sarawak: PPDM anggar 44 kerusi berpotensi menang tanpa bertanding

Facebook
WhatsApp
PERSATUAN Pemangkin Daya Masyarakat (PPDM) membangkitkan persoalan mengenai ruang persaingan demokrasi dan hak pengundi untuk memilih susulan kemungkinan 44 daripada 82 kerusi DUN Sarawak dimenangi tanpa bertanding pada PRN Ke-13. Foto PPDM.

KUCHING, 26 November: Sebanyak 44 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berpotensi dimenangi tanpa pertandingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 sekiranya perkembangan politik semasa menjelang hari penamaan calon menjadi kenyataan.

Anggaran awal itu diketengahkan Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (PPDM) menerusi kenyataan medianya hari ini, susulan keputusan beberapa parti politik untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kali ini.

Menurut PPDM, perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai ruang persaingan demokrasi serta pilihan yang tersedia kepada rakyat Sarawak dalam menentukan wakil rakyat mereka.

Berdasarkan pengumuman calon setakat ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengumumkan kesemua 82 calonnya, manakala Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mengumumkan 26 calon, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 12 calon dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) dua calon.

PPDM turut mengambil perhatian terhadap keputusan beberapa parti nasional termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta Barisan Nasional (BN) untuk tidak meletakkan calon, selain Parti Wawasan Negara (WAWASAN).

Bagaimanapun, persatuan itu menegaskan angka 44 kerusi berpotensi dimenangi tanpa bertanding masih merupakan anggaran awal dan hanya dapat dipastikan selepas proses penamaan calon selesai.

Dalam kenyataan sama, PPDM menjelaskan keputusan parti politik untuk bertanding atau tidak bertanding merupakan sebahagian daripada kebebasan politik dalam sistem demokrasi.

Namun, menurut persatuan itu, demokrasi juga perlu dinilai berdasarkan peluang yang diberikan kepada pengundi untuk membuat pilihan, membandingkan calon serta menilai prestasi penyandang.

PPDM berkata, kemenangan tanpa pertandingan menyebabkan pengundi kehilangan peluang untuk menilai tawaran dan rekod perkhidmatan calon, selain menggunakan kuasa undi sebagai mekanisme akauntabiliti terhadap wakil rakyat

Persoalan itu, menurut persatuan berkenaan, menjadi lebih penting sekiranya kemenangan tanpa pertandingan melibatkan sejumlah besar kawasan, termasuk beberapa kawasan majoriti Melayu dan Melanau yang ditandingi calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam GPS.

“Kemenangan tanpa bertanding mungkin sah di sisi undang-undang pilihan raya. Namun, kemenangan tanpa pertandingan tidak boleh disamakan dengan mandat yang diperoleh melalui persaingan dan undi rakyat,” menurut kenyataan itu.

PPDM turut mengingatkan bahawa demokrasi bukan sekadar proses membentuk kerajaan setiap lima tahun, sebaliknya turut melibatkan cara mandat diberikan, wakil rakyat dipilih dan kuasa dipertanggungjawabkan kepada rakyat.

Menjelang hari penamaan calon pada Sabtu ini, persatuan itu menggesa semua parti politik supaya meletakkan kepentingan demokrasi dan hak rakyat untuk memilih sebagai pertimbangan utama dalam setiap keputusan politik mereka.

Oleh Shikin Mahmud